Kelemahan yang ditemui adalah seperti di bawah:
- Jabatan Pertanian Negeri Johor menyasarkan pendapatan bersih sekurang-kurangnya RM3,000 sebulan bagi setiap peserta TKPM.
Tetapi setakat tahun 2012, analisis Audit mendapati hanya 34.5% peserta telah memperoleh purata pendapatan bersih antara RM3,288 hingga RM22,266 sebulan. Manakala baki 65.5% tidak mencapai pendapatan disasarkan kerana memperoleh antara RM229 hingga RM2,922 sebulan.
- Setiap peserta TKPM sepatutnya mengusahakan tanaman sayuran
keluasan minimum 2 hektar atau buah-buahan minimum 5 hektar. Akan
tetapi terdapat peserta yang mendapat tanah tanaman melebihi keluasan
minimum (contohnya, TKPM Ulu Tiram berkeluasan 43.7 hektar tetapi hanya
terdapat 3 peserta) dan terdapat peserta yang mendapat tanah tanaman
kurang daripada keluasan minimum (contohnya, 15 peserta berkebun di TKPM
Lepau yang hanya berkeluasan 15.5 hektar tanah tanaman dan 3 peserta
bertanam di TKPM Fertigasi Pagoh yang berkeluasan 1.5 hektar tanah
tanaman).
- Walaupun,peruntukan berjumlah RM4.38 juta telah diluluskan
oleh Kerajaan Persekutuan sejak tahun 2010 hingga 2012 untuk membiayai
kemudahan dan infrastruktur asas, lawatan Audit mendapati 21.6% lot
tanaman tidak diusahakan dan disenggarakan.
- Objektif utama program TKPM adalah untuk memastikan
bekalan makanan yang berkualiti dan selamat dimakan. Tetapi semakan
Audit mendapati sebanyak 35% sampel tanaman sayur-sayuran dan
buah-buahan telah melanggar peraturan penggunaan racun makhluk perosak.
Sehingga bulan Disember 2012, tiada peserta berjaya memperoleh
pensijilan Skim Amalan Ladang Baik Malaysia (SALM) kerana peserta belum
mencapai piawaian yang ditetapkan oleh Jabatan Pertanian Malaysia.
- Jabatan Pertanian mengambil masa sehingga 32 bulan untuk
menyingkir peserta-peserta yang tidak menunjukkan minat untuk
mengusahakan projek manakala urusan pengambilan peserta baru bagi
menggantikan peserta yang digugurkan atau menarik diri dari menyertai
program TKPM juga lewat dilaksanakan. Keadaan ini telah mengakibatkan
lot tanaman telah dibiarkan tanpa peserta antara 4 hingga melebihi 24
bulan.
- Kos penyelenggaraan yang ditetapkan adalah RM120 sehektar
setahun. Sewa tahunan sebanyak RM500 sehektar setahun dikenakan mulai
tahun ketiga. Semakan Audit terhadap kutipan sewa mendapati prestasi
kutipan kos penyelenggaran dan sewa adalah rendah iaitu antara 4.3%
hingga 37.7%.
Seperti yang didapati oleh Audit, antara faktor yang menyebabkan kegagalan TKPM adalah sikap peserta yang kurang komited dan produktif. Saya ingin menggesa Jabatan Pertanian supaya memilih peserta-peserta yang memang berminat dalam pertanian untuk memastikan peruntukan dan kemudahan yang disediakan dapat digunakan sepenuhnya bagi mencapai objektif TKPM.
Selain daripada itu, jurang pendapatan bersih antara peserta TKPM adalah sangat besar. Ada yang hanya memperoleh RM229 sebulan, tetapi ada juga peserta yang memperoleh melebihi RM20,000 sebulan. TKPM juga harus menperjelaskan kenapa ada peserta yang mendapat tanah tanaman yang melebihi 14 hektar tetapi ada juga peserta yang hanya mendapat 0.5 hektar. Jabatan Pertanian mestilah menjelaskan samada program ini telah dilaksanakan dengan adil ataupun hanya segelintir kroni yang memperoleh manfaat daripada program ini.
Untuk mereka yang memperoleh pendapatan bersih melebihi RM20,000 sebulan, soalannya adalah samada mereka masih berlayak untuk menyertai program TKPM dan terus menikmati sewaan lot tanah dan kos penyelenggaraan yang begitu rendah.
No comments:
Post a Comment