Kementerian Pendidikan didesak memberi penjelasan serta statistik
mengenai jumlah kekosongan tenaga pengajar di semua sekolah di negara
ini supaya masalah kekurangan guru yang tidak berpenghujung itu dapat
diselesaikan.
Ahli Parlimen DAP Kulai, Teo Nie Ching berkata, statistik harus
dinyatakan jika Kementerian Pendidikan benar-benar telah membuat
perancangan untuk mengatasi masalah itu.
Menurutnya, pada Januari 2012, Kementerian Pendidikan membuka kursus
Diploma Perguruan Lepasan Ijazah (DPLI) bagi menyelesaikan masalah
kekurangan guru di sekolah rendah dan menengah, namun graduan Guru
Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang tamat pengajian Mei lalu masih belum
ditempatkan hingga sekarang.
“Kementerian
Pendidikan mesti bertanggungjawab dengan memberi penjelasan atau
statistik berhubung permasalahan itu. Jika tidak, perkara ini sekali
lagi menunjukkan kegagalan mereka dalam membuat perancangan sempurna
yang akhirnya membazirkan sumber negara,” katanya dalam kenyataan.
Berdasarkan jawapan lisan 30 September lalu, Timbalan Menteri
Pendidikan II, P. Kamalanathan menyatakan bahawa graduan GSTT-DPLI
adalah sebanyak 6,020 orang di mana sebanyak 2,017 orang di bawah
kategori sekolah rendah dan 4,003 sekolah menengah.
Kamalanathan mendakwa senarai calon lepasan graduan itu telah
dikemukakan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) dan
temuduga dijangka akan dijalankan pada Oktober dan lantikannya bermula
Januari tahun depan.
Menyelar jawapan lisan itu, Nie Ching yang juga Penolong Setiausaha
Publisiti Kebangsaan DAP menegaskan, melalui semakannya menerusi laman
web Kementerian Pendidikan atau SPP masih belum ada sebarang maklumat
mengenai temuduga itu sehingga kini.
“Apabila graduan menelefon jabatan berkenaan, pegawai terbabit tidak
dapat memberi tarikh temuduga seperti yang dikatakan Timbalan Menteri.
“Semua graduan telah menandatangani kontrak perkhidmatan selama dua
tahun dengan kementerian maka ini menjadi halangan kepada mereka untuk
mencari pekerjaan alternatif terutamanya di sektor swasta.
“Pernahkah Kementerian mengambil berat terhadap mereka apabila mereka
perlu menunggu penempatan selama tujuh bulan dan menghadapi masalah
pengangguran serta menanggung kos sara hidup yang tinggi?,” soalnya.
Nie Ching turut mempersoalkan tindakan Kementerian yang sengaja
melambat-lambatkan proses temuduga dan penempatan graduan tanpa sebarang
alasan munasabah.
“Kajian tidak rasmi menunjukkan sebanyak 100 hingga 120 kekosongan
guru di sekolah rendah. Jika kekurangan itu sudah lama berlaku, mengapa
temuduga dan penempatan graduan GSTT-DPLI masih ditangguhkan?
“Tambahan pula, pengajian DPLI telah melahirkan 6,000 tenaga pengajar
yang masih menunggu penempatan, ia menimbulkan satu keraguan besar,
apakah benar kita mempunyai 6,000 kekosongan guru di semua sekolah yang
mampu menampung keperluan secukupnya?,” soalnya lagi.- Roketkini.com
No comments:
Post a Comment