Monday, October 21, 2013

Mengapa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membayar RM270 juta kepada jururunding latihan bahasa Inggeris?

Baru-baru ini, kita telah didedahkan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membayar RM20 juta kepada McKinsey & Co untuk perkhidmatan perundingan dalam merangka Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2013-2025.

Walau bagaimanapun, rupa-rupanya bayaran bagi khidmat nasihat perundingan yang berjumlah RM20 juta kepada McKinsey hanya sebahagian kecil daripada keseluruhan kisah sebenar. Menurut jawapan Parlimen yang saya terima daripada Menteri Pendidikan, Kementerian telah melantik tiga perunding luar iaitu British Council, Brighton Education Group dan SMR HR Group, dalam program tiga tahun yang bertujuan untuk “meningkatkan kapasiti” guru bahasa Inggeris di negara ini.

Ketiga-tiga firma perunding telah dianugerahkan kontrak mulai tahun 2011 hingga 2013 dengan kos keseluruhan berjumlah RM268.5 juta atau RM89.5 juta setahun. Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, firma terbabit akan menyediakan 360 orang mentor penutur jati bahasa Inggeris (120 mentor setiap firma) sepanjang tempoh tiga tahun.

Jawapan parlimen menyatakan selanjutnya bahawa sejumlah 7,500 guru dari 1,800 sekolah akan dilatih, dengan tanggungjawab dibahagikan mengikut geografi. British Council telah ditugaskan untuk menyediakan mentor untuk melatih guru-guru di Labuan, Sabah dan Sarawak, manakala Brighton Education Group akan melatih guru-guru di Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, Johor dan Negeri Sembilan. Sementara itu, SMR HR Group akan melatih guru-guru di Pulau Pinang, Perlis, Perak, Kedah dan Selangor.

Dalam erti kata lain, hampir RM270 juta dibelanjakan untuk mengupah 360 mentor Inggeris ini. Kos ini memecahkan kepada RM250,000 setahun bagi setiap mentor, atau berjumlah hampir RM21,000 sebulan.
Tidak kira apa penjelasan yang diberikan oleh KPM, tidak ada alasan munasabah yang boleh mewajarkan jumlah yang tidak masuk akal untuk dibelanjakan bagi menyediakan apa yang sebenarnya merupakan cuti bergaji selama tiga tahun bagi 360 orang mentor penutur jati bahasa Inggeris.

Selain itu, berdasarkan laporan dan maklum balas yang diterima daripada guru-guru yang menjalani program ini, “sesi bersama mentor” hanyalah antara tiga hingga empat jam sebulan. Ini serta-merta menimbulkan persoalan tentang keberkesanan program mentor ini. Bagaimanakah seseorang itu diharapkan menguasai sesuatu bahasa dengan hanya tiga hingga empat jam latihan sebulan?

Tambahan pula, jumlah perbelanjaan sebanyak RM270 juta untuk melatih 7,500 guru adalah bersamaan
dengan RM36,000 bagi setiap guru dalam tempoh tiga tahun. Jumlah ini adalah lebih daripada kos untuk mendaftar guru yang sama ke program ijazah dalam bahasa Inggeris dengan struktur pembelajaran yang tersusun di sebuah universiti tempatan. Sebagai contoh, Universiti Terbuka Wawasan menawarkan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dalam Pengajian Bahasa Inggeris dengan kos kira-kira RM24,000, iaitu dua pertiga kos program mentor yang disediakan oleh firma perundingan ini. Sementara itu, kos kursus diploma selama enam bulan dalam TESOL (Teaching English to Speakers of Other Languages) hanya RM4,500 di kolej swasta tempatan.

Meskipun matlamat untuk meningkatkan kualiti guru-guru bahasa Inggeris adalah terpuji dan perlu diteruskan, namun ini sama sekali tidak membenarkan tindakan KPM yang sewenang-wenangnya melantik jururunding yang tidak sepadan dengan harganya, terutama apabila pilihan yang lebih murah dan lebih baik telah sedia ada.

Zairil Khir Johari Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP & Ahli Parlimen Bukit Bendera

No comments: