Kuasa pendakwaan harus terus diletakkan kepada Jabatan Peguam Negara
sungguhpun terdapat kekurangan dalam penyampaian Jabatan Peguam Negara.
Permintaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya
kuasa pendakwaan diberi kepada SPRM untuk menjalankan pendakwaan
terhadap orang kena tuduh (OKT) yang melanggar undang-undang pencegahan
rasuah tidak wajar kerana ini bercanggahan dengan prinsip “check and
balance” atau prinsip penyemakan dan pemantauan terhadap agen
penyiasatan.
SPRM ialah sebuah agen kerajaan yang bertanggungjawab untuk
menjalankan kerja-kerja penyiasatan kes jenayah rasuah manakala Jabatan
Peguam Negara ialah sebuah agen kerajaan yang menjalankan tugas
pendakwaan. Kedua-dua fungsi ini perlu diasingkan supaya tidak berlaku
pertindihan dan pemusatan kuasa di satu-satu agensi kerajaan.
Kedua-dua fungsi ini juga perlu diasingkan supaya kuasa pendakwaan
iaitu Jabatan Peguam Negara boleh melihat keseluruhan kes yang dibawa
oleh kuasa penyiasatan dengan lebih menyeluruh, objektif dan
professional supaya kes pendakwaan yang dibawa ke mahkamah ialah kes
yang “water tight”, iaitu kes yang mempunyai asas yang kukuh untuk
menang di mahkamah (keupayaan Jabatan Peguam Negara untuk mencapai tahap
ini merupakan satu lagi isu yang perlu dibincang secara berasingan).
Kedua-dua SPRM dan Jabatan Peguam Negara tidak beroperasi secara
bersendirian kerana sama ada berjaya atau tidak seseorang OKT disabit
bersalah atas tuduhan rasuah di mahkamah juga bergantung kepada bentuk
undang-undang mencegah rasuah yang sedia ada di Malaysia.
Satu kekurangan yang amat ketara dalam undang-undang pencegahan
rasuah di Malaysia ialah seseorang dan ahli-ahli keluarganya yang
mempunyai pendapatan dan harta yang lauh lebih banyak dan tidak sepadan
dengan pendapatannya tidak dianggap rasuah.
Situasi ini sememangnya berbeza dengan perundangan yang ada di
negara-negara maju seperti di Hong Kong di mana sekiranya perkara ini
berlaku, maka seseorang penjawat awam itu boleh terus didakwa di
mahkamah mengikut prosidur yang telah ditetapkan melalui Jabatan
Kehakiman Hong Kong atau Department of Justice of Hong Kong.
Selain daripada faktor undang-undang, terdapat juga faktor-faktor
yang lain yang menentukan berjaya atau tidak perjuangan menentang
rasuah, termasuk penyelarasan gaji penjawat awam dan nilai jatidiri yang
perlu diterap dengan lebih konsisten ke dalam perkhidmatan awam di
Malaysia.
Justeru itu, masalah hakiki bukanlah tentang pemberian kuasa
pendakwaan kepada SPRM untuk membawa kes rasuah ke mahkamah, malahan
ianya bercanggahan dengan prinsip penyemakan dan pemantauan.
No comments:
Post a Comment