Pengerusi DAP Terengganu, Encik Ng Chai Hing berkata PAS mampu mempertahankan kerusi Parlimen Bukit Gantang dengan majoriti yang lebih besar.
Katanya, scenario politik yang berlaku di Perak sejak kerajaan Pakatan Rakyat ‘ditumbangkan’ secara tidak bermoral itu memberi reaksi negatif.
“Saya yakin PAS Perak boleh mempertahankan kerusi Parlimen Bukit Gantang dengan majoriti yang lebih besar.
“Senario politik di Perak sekarang membuat rakyat ‘muak’ dan sangat marah kepada Umno dan kerajaan ‘haram’ Barisan Nasional itu,” jelasnya.
Ini kerana, katanya Umno-BN yang memerintah Perak hari ini mempergunakan kuasa mahkamah, polis, pegawai dan jentera kerajaan.
Menurutnya, kesemua institusi berkenaan telah ‘diperkudakan’ oleh pemimpin Umno-BN yang gilakan kuasa.
“Saya beberapa berulang-alik ke negeri Perak sejak berlaku krisis dan kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat secara tidak bermoral.
“Reaksi rakyat bawahan cukup marah dan ‘muak’ dengan tindakan Umno-BN mengambil-alih kerajaan negeri ikut cara pintu belakang,” ujarnya.
Katanya, rakyat akan menghukum Umno-BN dalam pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang pada 7 April depan.
Beliau menyeru dan merayu agar rakyat membuat pilihan yang tepat tanpa dipengaruhi oleh politik wang sepanjang musim pilihan raya tersebut.