Kami mengecam tindakan kerajaan Barisan Nasional menahan pemimpin
mahasiswa Adam Adli dan menggesa Perdana Menteri Dato' Sri Najib Tun
Razak supaya menghentikan segala usaha yang cuba menghapus suara rakyat
yang tidak puas hati dengan penipuan yang telah berlaku pada Pilihan
Raya Umum ke-13 (PRU13). Kerajaan patut menghormati kebebasan bersuara,
berhimpun dan berpersatuan yang dijaminkan oleh Perkara 10, Perlembagaan
Malaysia.
Amat malang sekali, minggu pertama penggal baru kerajaan Najib dan
Menteri Dalam Negeri Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi telah dicemari oleh
perbuatan anti-demokrasi yang menindas rakyat Malaysia. Penggunaan Akta
Hasutan 1948 yang merupakan warisan penjajah menunjukkan bahawa Barisan
Nasional sanggup melakukan apa sahaja demi mengekalkan kuasa.
Sebelum ini juga, Tan Kar Hing, ADUN Simpang Pulai, Perak yang
merupakan penganjur Himpunan Blackout di Perak, serta dua orang siswa
Universiti Sains Malaysia (USM) yang menganjurkan GELAP 13, telah
dipanggil oleh polis untuk memberikan keterangan. Nik Nazmi Nik Ahmad,
ADUN Seri Setia, Selangor juga telah didakwa dibawah Akta Perhimpunan
Aman kerana Himpunan Blackout di Stadium Kelana Jaya, Selangor.
Hari ini, polis juga menyiasat kerajaan Pulau Pinang dibawah Akta
Himpunan Aman mengenai program perhimpunan yang dianjurkan di Padang
Kota Lama pada 18 Mei 2013.
Jelas sekali, semua ini merupakan cubaan pihak berkuasa untuk
menghapuskan suara rakyat yang mempertikaikan kemenangan Barisan
Nasional dalam PRU13 melalui taktik-taktik yang tidak sah.
Kami menggesa supaya kerajaan pusat segera membebaskan Adam Adli, dan
membatalkan dakwaan ke atas Nik Nazmi Nik Ahmad. Kami juga berharap
kerajaan pusat akan berhenti mengheret dan mendakwa rakyat yang
berhimpun secara aman untuk meluahkan pendapat mereka.
Kedua-dua Akta Hasutan dan Akta Himpunan Aman patut dimansuhkan
kerana bercanggah dengan prinsip hak asasi manusia yang termaktub dalam
Perlembagaan dan konvensyen antarabangsa. Kerajaan yang berjiwa rakyat
tidak akan takut kepada rakyat dan tidak akan menakut-nakutkan rakyat.
No comments:
Post a Comment