Friday, May 24, 2013

Malaysia tidak boleh mengulang sejarah Myanmar 1990

Demokrasi memberi kuasa kepada majoriti dan menghormati hak warga minoriti. Demokrasi tidak membenarkan pihak minoriti untuk menindas pihak majoriti, jika tidak kita akan berdepan situasi seperti kerajaan perkauman Afrika Selatan yang mengamalkan sistem apartheid dengan menindas kaum majoriti kulit hitam.

Di Malaysia tidak pernah ada mana-mana pakatan pembangkang yang memenangi undi popular lebih daripada BN, atau menang lebih daripada 50% undi popular. Inilah yang telah membolehkan BN melakukan persempadanan semula yang membenarkan BN memenangi lebih banyak kerusi parlimen, melebihi undi popular yang mereka terima.

Dengan tidak menghormati prinsip ‘satu orang, satu undi, satu nilai’, BN telah mengakibatkan ketidakadilan di mana satu undi untuk BN boleh bersamaan dengan hampir 10 undi untuk Pakatan Rakyat. Penghinaan terhadap prinsip keadilan ini boleh dilihat di kawasan parlimen Putrajaya yang hanya mempunyai 17,000 pengundi dimenangi BN, berbanding kawasan parlimen Kapar dengan hampir 160,000 pengundi yang dimenangi Pakatan Rakyat.

Memandangkan tidak ada parti yang pernah menang lebih banyak undi popular daripada BN sejak 1957, penghinaan terhadap demokrasi ini hanya terserlah dalam pilihan raya umum 2013 apabila BN kalah undi popular untuk pertama kali dalam sejarah. BN mencatatkan hanya 47% undi popular berbanding 51% untuk Pakatan Rakyat, namun tetap memenangi 60% kerusi Parlimen, dengan baki 40% dimenangi Pakatan Rakyat. Kesannya kini terdapat Kerajaan Persekutuan minoriti, Perdana Menteri minoriti dan Menteri Dalam negeri minoriti yang memerintah Malaysia.

Walaupun Pakatan Rakyat menang undi popular dalam PRU 2013, Pakatan Rakyat dan DAP tidak berhasrat untuk menggulingkan kerajaan BN. DAP dan Pakatan Rakyat sentiasa memilih perubahan kerajaan secara aman, seiring dengan peruntukan undang-undang Perlembagaan Persekutuan.
Namun kerajaan BN tidak berperangai seperti sebuah kerajaan minoriti, malah seolah-olah ia kerajaan autoritarian. Penangkapan tiga pemimpin anti-BN, Tamrin Ghafar dari PAS, Tian Chua dari PKR dan pemimpin NGO HAris Ibrahim serta rampasan lidah parti Pakatan Rakyat; Suara Keadilan PKR, Harakah PAS dan Rocket DAP mengingatkan kita tentang apa yang pernah terjadi di Myanmar selepas penguasa tentera kalah dalam pilihan raya.

Pada tahun 1990, pergerakan demokrasi di Myanmar pimpinan Pemenang Hadiah Keamanan Nobel, Aung San Syu Kyi menang pilihanraya umum dengan 80% kerusi, tetapi tidak dibenarkan mengambil alih kuasa; lalu para jeneral mengambil alih dengan melaksanakan pemerintahan tentera yang kejam dan melanggar hak asasi manusia. Tindakan keras yang terjadi di Malaysia yang dilakukan oleh dua ekstremis yang baru dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara adalah peringatan yang kena pada masanya untuk menghalang Malaysia daripada jatuh ke kancah yang merbahaya ini.

Sambil kita menyambut Hari Wesak dengan penuh rasa kasih sayang untuk semua, kita juga mesti mengatakan ‘tidak’ terhadap usaha terakhir mereka ini yang bertujuan untuk membungkam suara-suara hati nurani yang berani berbeza pendapat. Rakyat Malaysia daripada semua keturunan dan agama yang telah mengundi demi demokrasi, kebebasan, keadilan, kebenaran dan integriti mesti berganding bahu secara aman untuk menghalang era gelap zaman baru ini. Malaysia tidak boleh mengulangi sejarah Myanmar 1990.
 
Lim Guan Eng Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan

No comments: