Tuesday, May 14, 2013

Mampukah UMNO membuktikan ciri-ciri 1Malaysianya dengan bertindak terhadap Datuk Mohd Noor?

Pada ulangtahun ke 44 tragedi rusuhan 13 Mei 1969, rakyat Malaysia terus diingatkan bagaimana mereka telah membuat pilihan yang tepat pada PRU ke 13 dengan menolak BN dan UMNO yang perkauman. 51% rakyat Malaysia telah memilih untuk menyokong Pakatan Rakyat dan menolak kebencian kaum yang dibawa BN dan UMNO, diperlihatkan daripada seruan akhbar UMNO, Utusan Malaysia untuk menyambut 13 Mei sebagai "hari suci", seolah-olah mahu meraikan kematian ratusan malah mungkin ribuan rakyat Malaysia yang tidak berdosa.

Walaupun majoriti rakyat Malaysia dari kalangan Melayu, India, Cina, Kadazan dan Iban telah menolak politik ketakutan dan kebencian BN, pemimpin UMNO terus mencetuskan kebencian kaum terhadap orang bukan Melayu. Hari ini kita melihat calon UMNO/BN yang kalah di Shah Alam berbohong bahawa kononnya DAP mahukan Melayu mati dan Lim Kit Siang mencetuskan rusuhan 13 Mei di Kuala Lumpur, walaupun Lim Kit Siang berada di Sabah pada waktu itu.

Bekas Hakim Mahkamah Rayuan dan Ahli Jawatankuasa Rayuan Disiplin UMNO, Datuk Mohd Noor Abdullah mengugut masyarakat Cina supaya bersedia untuk tindak balas masyarakat Melayu kerana "pengkhianatan" mereka dalam PRU ke-13 yang baru selesai. Datuk Mohd Noor pastinya merujuk kepada tindak balas Melayu UMNO dan bukan orang Melayu yang mengundi DAP dan pakatan Rakyat. Bagaimana mungkin seorang hakim boleh menjadi begitu tidak rasional dan tidak masuk akal sehingga sanggup mengatakan bahawa dengan mengundi parti berasaskan Melayu, PAS dan PKR, dan bukan UMNO, maka orang Cina sudah mengkhianati orang Melayu?

Kenyataan sedemikian oleh pemimpin UMNO nyata telah menimbulkan kemarahan bukan sahaja orang Cina tetapi seluruh rakyat Malaysia. Ketua Pembangkang Pakatan Rakyat merangkap calon Perdana Menteri, datuk Seri Anwar Ibrahim telah dengan tepat menggambarkan kenyataan perkauman Datuk Mohd Noor sebagai "memalukan Klu Klux Klan (KKK) dan membanggakan diktator Nazi Jerman, Adolf Hitler" KKK adalah sebuah pertubuhan haram ultra-kulit putih yang menindas orang kulit hitam, dan Hitler adalah rasis paling agung dalam sejarah dunia. Anwar berjanji bahawa Pakatan Rakyat akan memperlihatkan perbezaan yang jelas berbanding UMNO dengan tidak menyebarkan perbalahan kaum tetapi menyebarkan kedamaian dan rasa hormat sesama rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

Bolehkah Datuk Mohd Noor memperlihatkan bukti bagi menyokong tuduhannya bahawa orang Cina sedang mengatur untuk merampas kuasa politik daripada orang Melayu? Sekali lagi, kenyataannya yang mengugut untuk merampas harta dan hak orang bukan Melayu adalah satu usaha besar menutup kegagalan menjawab isu rasuah oleh sekalian Melayu, Cina dan India dalam BN.

Apa yang telah Mohd Noor lakukan sebagai ahli jawatankuasa aduan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memerangi rasuah, terutamanya skandal kehilangan RM52 bilion saham Bumiputera, yang hilang sebelum sempat sampai kepada Melayu dan Bumiputera miskin? Kalau Pakatan Rakyat telah menang kuasa, suatu siasatan penuh pastinya akan dilakukan dan memaksa mereka yang telah "menelan" RM52 bilion itu untuk membayar balik kepada rakyat Melayu dan Bumiputera miskin. Sama juga, RM3 bilion yang dicuri daripada masyarakat India dan RM14 bilion daripada masyarakat Cina mesti dikembalikan.

Apabila Suruhanjaya Pilihanraya dan SPRM membenarkan siasatan politik wang dan rasuah dikompromi, jalan mudah untuk keluar ialah dengan mengeksplotasi kebencian kaum bagi menyorokkan kegagalan mereka. Kenapa Datuk Mohd Noor tidak terfikir pun tentang Melayu miskin yang terlepas saham RM52 bilion? Kenapa Datuk Mohd Noor tidak mendesak supaya tindakan diambil terhadap Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang enggan bekerjasama dengan SPRM serta mencabar dan menyerang SPRM yang disebutnya sebagai tidak jujur dan "nakal"?

Bagi seorang Ketua Menteri Sarawak, tindakan beliau yang enggan bekerjasama dengan pihak SPRM tentang tuduhan rasuah terhadapnya adalah satu pelanggaran serius terhadap tugas dan tanggungjawab. Di bawah Sekseyn 47 dan 48 Akta SPRM 2009, keengganan bekerjasama dengan SPRM apabila seseorang disiasat boleh menjadi satu kesalahan yang boleh dihukum dengan denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga 2 tahun atau kedua-duanya sekali. Begitu pun SPRM gagal bertindak terhadap Taib Mahmud tanpa sebarang protes daripada seorang bekas hakim seperti Datuk Mohd Noor.

Mampukah UMNO membuktikan ciri-ciri 1Malaysia nya dengan bertindak terhadap Datuk Mohd Noor kerana mencetuskan kebencian, ketakutan dan mengugut masyarakat Cina supaya bersedia menerima tindak balas daripada Melayu UMNO? Jika UMNO gagal berbuat demikian, UMNO tidak patut menyalahkan MCA atau Gerakan kerana gagal mendapatkan sokongan bukan-Melayu tetapi mesti bertanggungjawab sepenuhnya kerana mengakibatkan kejatuhan merudum dalam pilihanraya bagi kedua-dua MCA dan Gerakan.

Lim Guan Eng Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan

No comments: