Wednesday, May 15, 2013

Zairil : Tak akan Melayu hilang di Malaysia

SHAH ALAM – "Tak akan Melayu hilang di Malaysia."

Demikian reaksi Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Zairil Khir Johari ketika diminta membuat penggulungan pada wacana Sinar Harian siri ke-20 yang mengupas topik Pasca PRU13 : Ke Mana Haluan Politik Melayu, hari ini.

Beliau memberitahu hadirin bahawa kemungkinan Melayu hilang di Malaysia adalah suatu perkara yang mustahil.

“Di negara Malaysia, kuasa Melayu sampai bila-bila pun tidak akan hilang. Tidak mungkin. Adalah suatu perkara yang mustahil (hilang).

“Kerana apa? Pertama, dari segi demografi, kedua, dari segi undang-undang dan ketiga dari segi Raja-Raja Melayu,” katanya ketika menjadi panelis pada wacana siri ke-20 ini. [Lihat Video]

Justeru itu katanya dari awal lagi beliau hairan mengapa tajuk ini masih diperbincangkan.

“Pertama, dari segi demografi. Masyarakat Melayu merupakan masyarakat yang terbesar. Masyarakat Cina dalam 25 peratus dan semakin mengecil. Masyarakat Melayu semakin membesar. Kalau ikut trend demografi, sampai bila-bila pun, masyarakat Melayu akan menjadi masyarakat yang terbesar di Malaysia.

“Dari segi undang-undang. Semua kedudukan keistimewaan hak orang Melayu adalah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Yang tidak boleh dicabar oleh siapa-siapa termasuk parti DAP. Jadi, sampai bila pun, tidak akan hilang,” katanya.

Tambahnya, “ketiga, dari segi Raja-Raja Melayu. Macam mana pun Raja-Raja Melayu akan jadi pelindung kepada hak-hak orang Melayu. Jadi, tiga-tiga sebab ini adalah hakikat bahawa kuasa Melayu tidak akan hilang di negara Malaysia. Tidak mungkin.”

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera menjadi panelis pada wacana anjuran Sinar Harian bersama Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.

Program dikendalikan oleh pensyarah Fakulti Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara, Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin.

No comments: