DAP menyeru pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri
Hishamuddin Hussein melaksanakan tanggungjawabnya dengan memberitahu
rakyat jangkaan kos yang terlibat dalam pengambilalihan operasi dan
penguatkuasaan Automated Enforcement System (AES).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Kampung Tunku, Lau Weng San
berkata, penjelasan harus diberikan agar rakyat dapat mengetahui sama
ada pengambilalihan itu satu bentuk ‘bail out’ bagi menolong
syarikat-syarikat kroni yang tenat dari segi kewangan.
“Soalan ini munasabah kerana pernah dilaporkan sebelum ini bahawa
kedua-dua syarikat pengendali AES, iaitu Beta Tegap Sdn Bhd dan
Automated Traffic Enforcement System (ATES) Sdn Bhd didesak oleh
bank-bank kerana gagal membuat bayaran balik pinjaman mengikut jadual
akibat ditimpa masalah aliran tunai jutaan ringgit.
“Rakyat juga diberitahu bahawa mengikut kontrak yang ditandatangani
dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kedua-dua syarikat ini harus
menyediakan perkhidmatan kepada unit penguatkuasaan JPJ secara
berterusan tanpa gangguan sejak bulan September tahun 2012 sehingga
tamat tempoh lima tahun kontrak di mana penyerahan peralatan akan
dilakukan.
“Lebih-lebih lagi, apabila kerajaan persekutuan berkali-kali telah
mengatakan bahawa pelaksanaan sistem AES ini langsung tidak melibatkan
wang kerajaan, kami bimbang kerajaan sekarang perlu mengambilalih
operasi dan penguatkuasaan AES ini dengan kos,” kata beliau yang juga
Setiausaha Organisasi DAP Selangor dalam kenyataan, hari ini.
Laporan dari portal berita, Free Malaysia Today sebelum ini
memaparkan bahawa sebuah bank komersil terkemuka telah mengambil
tindakan membeku akaun salah sebuah syarikat itu apabila gagal membuat
bayaran balik pinjaman. Juga dilaporkan bahawa Beta Tegah dan ATES telah
berusaha untuk mengadakan rundingan dengan Kementerian Pengangkutan dan
JPJ tentang masa depan projek itu berikutan masalah kekangan aliran
tunai.
Selain itu, carian di laman sesawang Suruhanjaya Syarikat Malaysia
(SSM) mendapati Beta Tegap sedang menanggung kerugian terkumpul sebanyak
RM7.62 juta pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2012.
Lau menegaskan kerajaan tidak boleh berdiam diri dan mengelak dari
menjawap soalan ini, jika tidak ianya pasti sengaja dilakukan bagi
membolehkan dua syarikat kroni mereka itu terselamat.
“Ini telah menimbulkan banyak tanda soal, sama ada pengambilalihan
kedua-dua buah syarikat pengendali AES ini bertujuaan untuk
menyelamatkan mereka akibat terdesak oleh bank untuk membayar balik
pinjaman?,” soalnya. -Roketkini.com
No comments:
Post a Comment