Kenyataan Perdana Menteri dan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun
Razak semalam berhubung dengan isu pemilihan semula CEC DAP mengesahkan
terdapat usaha di peringkat tertinggi untuk melakukan satu komplot
politik untuk memusnah dan melenyapkan DAP dari arena politik Malaysia.
Najib sendiri telah “menghalalkan” penipuan yang telah disebar dan
diulangi ratusan kali oleh agen-agen propaganda UMNO selama beberapa
bulan ini dengan kenyataan beliau seperti berikut:
“Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, DAP adalah parti yang tiada
kredibiliti kerana kononnya mengamalkan prinsip demokrasi namun
pemimpin mereka tidak berani mengamalkan prinsip tersebut di dalam parti
sendiri.
Perdana Menteri berkata, ini kerana seramai 753
perwakilan DAP yang berhak hadir pada pemilihan Jawatankuasa Eksekutif
Pusat (CEC) tidak dimaklumkan untuk hadir dan jumlah itu bukan suatu jumlah yang kecil.” (Utusan Malaysia 16 Ogos 2013)
Ini merupakan satu dakwaan yang tidak berasas sama sekali dan tidak
pernah dibuktikan oleh ROS kerana ROS tidak pernah memberikan sebarang
alasan dalam tindakan mereka mengarahkan pemilihan semula CEC DAP.
Faktanya, mereka tidak dapat membuktikan bahawa 753 perwakilan yang
tidak hadir di Kongres DAP pada 15 Disember 2012 tidak dimaklumkan oleh
Parti kerana dakwaan tersebut merupakan satu penipuan yang direka untuk
menyabitkan “kesalahan” yang tidak pernah wujud ke atas DAP.
Kalau isu 753 perwakilan yang berhak hadir tidak dimaklumkan
merupakan “kesalahan” yang telah dilakukan oleh DAP sehingga kita patut
dihukum dengan pemilihan semula, mengapakah ROS tidak dapat memberikan
sebab tersebut dalam surat arahan mereka?
Bukti penghantaran notis melalui pos kepada semua perwakilan yang
layak hadir telah pun diberikan kepada ROS namun ia langsung tidak
diendahkan oleh ROS dalam pertimbangan mereka. Oleh kerana Najib sendiri
yang mengulangi penipuan ini semalam, maka saya terpanggil untuk
menunjukkan bukti-bukti tersebut secara terbuka supaya rakyat Malaysia
boleh menjadi “hakim” dalam “mahkamah pendapat umum” (court of public
opinion) untuk menentukan sama ada DAP yang bersalah ataupun Najib yang
menipu!
Semua wakil media dijemput hadir ke sidang media saya pada hari
Isnin, 19 Ogos 2013 jam 11 pagi di Ibupejabat Kebangsaan DAP, Kuala
Lumpur.
No comments:
Post a Comment