"Memperlekahkan demokrasi! Mencantas akar umbi Chua! Kemusnahan MCA berpunca dari Ong!" Demikianlah antara slogan yang tertulis pada banner, oleh penyokong Chua Soi Lek yang menuntut agar Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) diadakan, berusulkan pembuangan undi tidak percaya kepada Presiden Ong Tee Keat, dan mengekalkan keahlian serta jawatan Timbalan Presiden Chua Soi Lek.
Perbalahan antara dua pemimpin tertinggi dari parti komponen Barisan Nasional kedua terbesar ini telah diberi liputan yang luas dalam ruangan media bahasa Cina. Persoalannya, apakah pertembungan antara dua elit politik ini bakal menjana gerakan Reformasi dalam masyarakat Cina?
Tidak menyentuh agenda besar
Pertembungan antara Mahathir Mohamad dengan Anwar Ibrahim, walaupun cuba digunakan "skandal seks" sebagai isu, berakhir dengan perdebatan agenda besar seperti rasuah, kronisme, nepotisme, hak asasi manusia, keadilan, kepincangan sistem kehakiman dan sebagainya. Malah, masyarakat Melayu digegarkan dengan laungan "Reformasi", menyaksikan puluhan ribu manusia turun ke jalan raya menuntut perubahan.
Sebaliknya, pergelutan antara Ong Tee Keat dengan Chua Soi Lek, langsung tidak kesampaian untuk menyentuh isu-isu sebesar itu. Chua Soi Lek dihukum untuk kali kedua dengan dvd skandal seks yang sama, yang diibaratkan penyokong Chua sebagai "menyebat mayat".
Namun demikian, mengimbas sejarah pergelutan kuasa MCA, hampir tiada pertembungan yang berlandaskan ideologi, bahkan berpaksikan pendirian dalam isu-isu tertentu. Perselisihan antara Ling Liong Sik dengan timbalannya, Lim Ah Lek juga berpunca daripada pembahagian kuasa, di mana masing-masing mahukan anak buah mereka mewarisi tampuk pimpinan MCA.
Perbalahan ini bersinambungan sejak tahun 2000, sehingga isu pembelian Nanyang Holdings tercetus pada tahun 2001, membuka gelanggang agar kedua-dua puak ini bersilat. Isu "kebebasan media" diketengahkan, Team A yang dipimpin Ling Liong Sik menyokong untuk membeli syarikat media tersebut, sementara Team B yang diketuai Lim Ah Lek membantah pembelian tersebut.
Secara ringkasnya, isu "kebebasan media" hanyalah peluru kepada Team B untuk menyerang Team A. Isu ini dilenyapkan begitu sahaja apabila Chan Kong Choy dari Team B memperolehi jawatan Menteri Pengangkutan merangkap Timbalan Presiden MCA, setelah Mahathir Mohamad bercampur tangan mendamaikan kemelut MCA.
Campur tangan UMNO
Maka, isu pemecatan Chua Soi Lek kini diolah dengan hujah "sama ada ahli mahu MCA yang diperkudakan UMNO, atau MCA yang bermaruah untuk menentukan pucuk pimpinan dirinya".
Jelas, Ong Tee Keat memperjudikan nasibnya apabila melepaskan khabar bahawa seluruh pucuk pimpinan akan meletak jawatan, seandainya EGM diadakan untuk membatalkan keputusan Majlis Presiden kelmarin.
Malah, Pengerusi BN Najib Abdul Razak kini berada dalam kedudukan serba salah, sama ada untuk bercampur tangan dalam kemelut MCA atau tidak. Dalam perkiraan Ong, Chua perlu bergantung kepada "kuasa luar", iaitu Najib untuk bertarung dengan dirinya. Tetapi, seandainya tangan Najib dimasukkan ke dalam celah retakan MCA, maka Ong akan menyatukan sokongan akar umbi untuk melawan "musuh" dari luar.
Jauhi pengaruh UMNO?
Penampilan imej Ong sebagai "penentang UMNO" mungkin disambut baik ahli MCA, malah masyarakat Cina secara umumnya. Persoalannya, gerak-geri Ong Tee Keat ini tidak bermakna, sekiranya MCA gagal menjauhkan dirinya dari UMNO ketika penyelewengan, ketidakadilan dan penindasan berlaku.
Tsunami politik 8 Mac 2008 hampir mengaramkan MCA, pada ambang parti itu menyambut ulangtahun ke-60. Pemimpin MCA yang ditampar oleh pengundi, bertekad untuk "berubah sebelum diubah". Tetapi, sejak Ong Tee Keat mengambil alih pucuk pimpinan, apakah perubahan yang terlaksana?
Penganalisa politik, kolumnis di media internet mula mempertikaikan peranan yang dimainkan oleh Timbalan Ketua Pemuda MCA, Mah Han Soon yang menyumbangkan "warna kulitnya" untuk merampas kuasa kerajaan negeri Perak bersama UMNO.
Pemuda MCA yang diketuai Wee Ka Siong, kononnya akan bersuara lantang untuk memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat, bagaimanapun berpeluk tubuh untuk memberi laluan kepada FRU membelasah peserta perhimpunan Mansuhkan ISA. Malah, kenyataan media daripada Setiausaha Agung Pemuda MCA, Chai Kim Sen yang cuba duduk di atas pagar dan mengkritik kedua-dua pihak polis dan peserta demonstrasi, dibidas sehabis-habisnya.
Masa depan MCA
Kegagalan MCA untuk memenangi sokongan pengundi Cina terbukti dalam semua pilihan raya kecil yang diadakan selepas PRU ke-12. Malah, apabila calon PAS daripada Pakatan Rakyat, Mohd. Nizar Jamaluddin memperolehi hampir 85% undi Cina di Bukit Gantang, mengharungi segala tuduhan "Negara Islam" yang dilemparkan, MCA diaibkan sebogel-bogelnya.
Jelas, MCA semakin hilang relevannya kepada masyarakat Malaysia secara umumnya, dan masyarakat Cina secara khususnya. Slogan "Tiga Lawan" yang dilaungkan Ong, "Lawan untuk ekonomi! Lawan untuk politik! Lawan untuk keharmonian kaum!" tiada kandungan yang konkrit, malah tiada kayu ukur untuk menilai sejauh manakah matlamat ini tercapai.
Berbalik kepada tajuk, apakah pergelutan antara Ong dan Chua bakal menjana gerakan reformasi dalam masyarakat Cina? Jawapannya mungkin. Sekiranya perebutan kuasa Ong dan Chua ini berjaya membawa kepada kemusnahan MCA, maka politik masyarakat Cina akan mengucapkan "selamat tinggal" kepada MCA buat selama-lamanya.
Dengan itu, reformasi mula terjana secara senyap dalam masyarakat Cina, selepas satu dekad "Reformasi" bergema di Dataran Merdeka.
*Lim Hong Siang ialah editor MerdekaReview, edisi Bahasa Melayu. Gambar Chua Soi Lek berucap di atas diambil pada Januari 2008, ketika Chua disambut penyokongnya di Batu Pahat, selepas meletak jawatan kerana terlibat dalam skandal seks.
No comments:
Post a Comment