DAP mencela dengan kuat tindakan beberapa individu yang telah memijak
gambar Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Tun Razak di Dataran Merdeka
semasa sambutan malam Merdeka di Kuala Lumpur. Namun demikian, jika
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussein boleh berjanji
bahawa Kementerian Dalam Negeri akan mengambil tindakan dan
mempercepatkan proses undang-undang ke atas pelaku-pelaku tersebut,
adakah tindakan yang sama akan diambil ke atas penyokong-penyokong BN
yang melakukan tindakan yang serupa ke atas gambar-gambar pemimpin PR?
Sampai sekarang tiada pun tindakan mahkamah yang diambil ke atas
penyokong-penyokong BN yang terdesak ini yang mencabuli gambar-gambar
pemimpin PR. Jelas BN mengamalkan dakwaan selektif, dwi-standard dan
sikap perkauman dengan tidak mengambil tindakan dan tuntutan yang sama
terhadap para pelampau Perkasa yang telah membakar atau memijak gambar
saya di luar pejabat saya dan juga melakukan upacara pengebumian dengan
gambar saya di luar kediaman saya.
Lagi sekali, kenapa tiada tindakan diambil juga ke atas mereka yang
bertindak biadap terhadap pengerusi bersama Bersih Datuk Ambiga
Sreenevasan di luar rumah beliau? Yang sedihnya ialah Menteri-menteri
daripada parti komponen bukan Melayu BN bertindak bagai pengecut dengan
menuntut tindakan apabila gambar Perdana Menteri dipijak tetapi tidak
apabila gambar seorang Ketua Menteri berbangsa Cina dicabuli.
Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri dan Presiden Gerakan Tan Sri
Dr Koh Tsu Koon telah berkata bahawa tindakan memijak gambar Perdana
Menteri menunjukkan betapa tidak hormatnya Pembangkang terhadap negara.
Pertama sekali, adalah sangat tidak bertanggungjawab untuk menuduh
Pembangkang untuk sesuatu tindakan yang jelas bukan kerja kita. Kedua,
kecaman Koh Tsu Koon terhadap insiden memijak gambar Perdana Menteri
sementara berdiam apabila gambar saya dipijak dan upacara pengebumian
dilakukan dengan gambar saya hanya mendedahkan dwi-standard serta sikap
tunduk beliau kepada UMNO.
Koh tidak juga memanggil untuk tindakan yang sama terhadap pemprotes
Datuk Ambiga yang telah menghinanya dengan “tarian punggung” serta
“protes burger” di mana burger daging telah dimasak di luar kediamannya
walaupun beliau seorang Hindu dan vegetarian. Adakah kelakuan ini boleh
diterima apabila membabitkan pemimpin-pemimpin bukan Melayu seperti saya
dan Datuk Ambiga? Nampaknya pemimpin-pemimpin bukan Melayu seperti saya
dan Datuk Ambiga akan terus dianiaya dan dimalukan sementara
pemimpin-pemimpin pembangkang Melayu PR akan diganggu dengan fitnah
skandal seks.
Ini mendedahkan sikap BN dan menjadi amaran kepada rakyat Malaysia
bahawa BN bersedia untuk melakukan apa sahaja sekalipun untuk memainkan
politik perkauman melampau dan politik pecah-belah untuk memenangi PRU
yang akan datang.
Tragedi sebenar Menteri-menteri bukan Melayu BN seperti Koh Tsu Koon
bukan sahaja sikap tunduk terhadap UMNO tetapi beliau juga telah
melatih satu generasi pemimpin Gerakan yang mempunyai sikap tunduk yang
sama terhadap pemimpin UMNO sehingga penghinaan ke atas
pemimpin-pemimpin bukan Melayu boleh diterima berbanding dengan
pemimpin-pemimpin UMNO.
No comments:
Post a Comment