Friday, September 28, 2012

Di sebalik Belanjawan 2013 tersembunyi Najib yang tidak berkeyakinan

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan tidak tahu malu menafikan Belanjawan 2013 Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak adalah “belanjawan pilihan raya”. Itu menggambarkan apa yang tidak kena dengan kerajaan UMNO/Barisan Nasional selepas 55 tahun berkuasa. Pemimpin kerajaan Umno/BN menghidap dua penyakit berbahaya iaitu penyakit ‘tidak menerima hakikat’ dan penyakit ‘apa yang dikata berbeza dengan apa sebenarnya berlaku’.

Malah Menteri, Ahli-Ahli Parlimen dan ahli-ahli UMNO/Barisan Nasional pun tidak akan percaya dengan penafian Muhyiddin bahawa Belanjawan 2013 Najib bukan “belanjawan pilihan raya”.
Mengapakah Timbalan Perdana Menteri membuat penafian yang menghilangkan kewibawaannya, baik dalam kem Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional?

Tidak lain kerana UMNO/BN dibuai perasaan palsu bahawa mereka dapat mengubah politik Malaysia kepada sebuah dunia seperti yang mereka angankan dan membuatkan rakyat biasa mempercayai apa yang diperintahkan oleh pemimpin UMNO/BN, walaupun terpisah daripada realiti.
Keadaan fikiran yang salah dan tidak kena tempat inilah yang menyebabkan pemimpin UMNO/BN berterusan menafikan kebimbangan rakyat Malaysia terhadap jenayah yang semakin bertambah dan masalah besar negara adalah berleluasanya rasuah. Dengan merujuk kepada statistik GTP dan NKRA serta dakwaan turunnya indeks jenayah yang diragui dan juga perkembangagan usaha memerangi rasuah.

Tetapi perasaan palsu dan penafian ini tidak dapat bertahan lama di dalam dunia sebenar terutamanya dalam era teknologi maklumat dan internet. Ini kerana maklumat tersebar dengan pantas dan tidak mampu dikambus oleh media perdana BN.

Ketika Najib menjadi Perdana Menteri pada April 200,9 beliau telah pun menemui akar permasalahan apabila mengisytiharkan, “era kerajaan mengetahui apa yang terbaik telah berakhir”. Yang menjadi tragedi adalah apabila tindakan beliau selama 42 bulan sebagai Perdana Menteri menggambarkan beliau mampu mengesan masalah tetapi tidak dapat menyelesaikannya. Sama ada kerana kurang kehendak politik atau kepercayaan yang dipegangnya.

Najib mencipta sejarah semalam apabila beliau menjadikan Belanjawan 2013 yang penuh dengan gula-gula untuk pengundi semua sektor kepada ucapan kempen pilihan raya.

Walaupun dakwaan Muhyiddin selepas pembentangan belanjawan mengatakan ia bukan “belanjawan pilihan raya”, Najib memperuntukkan lebih daripada 10 peratus ucapan belanjawannya menjadi rayuan pilihan raya meminta rakyat terus menyokong Umno/BN diiringi serangan yang tidak patut ke atas Pakatan Rakyat.

Najib mengejutkan Ahli-Ahli Parlimen dan rakyat Malaysia yang mendengar pembentangan itu apabila enam perenggan pertama ucapan Belanjawan 2013 merayu rakyat Malaysia untuk terus menyokong kerajaan Umno/BN sambil melemparkan tuduhan-tuduhan dan sindiran-sindiran terhadap Pakatan Rakyat.

Tetapi beliau telah berlebih-lebih apabila 14 perenggan akhir daripada 174 perenggan ucapan belanjawannya digunakan tanpa segan silu menagung-agungkan pemerintahan Umno/BN dan mengutuk Pakatan Rakyat. Sehinggakan ramai daripada kedua-dua belah pihak menggelengkan kepala disertai rungutan yang sama bahawa pembentangan Belanjawan 2013 menunjukkan “kelas” dan “piawaian” yang buruk, baik kandungan belanjawan mahupun pembentangnya.

Terbukti di sebalik Belanjawan 2013 tersembunyi Najib yang tidak berkeyakinan serta sedang dihantui dan diburu kebimbangan bahawa ucapan belanjawannya yang keempat ini mungkin belanjawan Umno/BN terakhir di Parlimen dalam sejarah negara.

Sebab itulah, meskipun Najib bercakap besar dengan penuh yakin rakyat Malaysia akan terus menyaksikan enam lagi belanjawan akan dibentangkan kerajaan Umno/BN untuk transformasi Malaysia daripada negara berpendapatan pertengahan kepada Negara berpendapatan tinggi, Najib sebenarnya terus memainkan watak Hamlet dari karya Shakespear dengan terus bertanya, “To Be or Not To Be”. Terseksa untuk membuat keputusan sama ada “Membubarkan Parlimen atau tidak membubarkan Parlimen” sejak tahun lalu.

Puncanya mudah, Najib tidak mempunyai keyakinan bahawa beliau tidak akan menjadi Perdana Menteri Malaysia terakhir daripada UMNO atau dirinya tidak akan dijatuhkan daripada jawatan Presiden UMNO dan mengulangi kejadian yang terjadi ke atas Tun Abdullah pada 2009, iaitu menjadi “trofi” terbaru Tun Mahathir dengan kepala tiga Timbalan Perdana Menteri dan dua Perdana Menteri!

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Ipoh Timur

No comments: