Sunday, January 20, 2013

Kuasa Melayu tetap kekal tanpa UMNO


JOHOR BAHRU, 19 JAN: Dengan majoriti orang Melayu di negara ini melebihi 60 peratus, walaupun tanpa UMNO, orang Melayu tidak mungkin akan kehilangan kuasa kerana ada parti politik lain yang boleh mengambil alih pemerintahan negara.

Ia diperkukuhkan dengan struktur demografi dan politik Malaysia yang berpaksikan demokrasi berparlimen dan berpegang pada konsep rakyat adalah tuan manakala wakil rakyat dipilih oleh rakyat.

Demikian antara kesimpulan yang dirumus dalam Wacana Roketkini.com berjudul “Benarkah Melayu akan hilang kuasa tanpa UMNO?” yang diadakan di Hotel Good Hope, Skudai, Johor yang membariskan ahli panel terdiri daripada Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Dr Ariffin Omar; Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, Zairil Khir Johari dan Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Tajuddin Rasdi dan Dr Maszlee Malik bertindak sebagai moderator.

Dr Ariffin berkata, dakwaan orang Melayu akan hilang kuasa hanya ditakutkan dengan fantasi yang dicipta untuk kepentingan UMNO-Barisan Nasional (BN) kerana jika DAP menjadi parti yang mendominasi sekalipun, ia ‘tidak akan berani’ mengabaikan orang Melayu.

“Hakikatnya DAP juga terpaksa bergantung kepada orang Melayu bagi membolehkan ia menang dalam pilihan raya.

“Apa yang berlaku selama ini adalah satu persepsi negatif yang diambil daripada sejarah apabila Singapura dipisahkan dari Malaysia ketika itu. Sebab itu orang anggap DAP sebagai parti Cina,” katanya.

Tambah beliau, apa yang boleh menghilangkan kuasa Melayu ialah UMNO sendiri mengambil contoh pertembungan UMNO dengan raja-raja Melayu, gejala rasuah dan penyelewengan harta negara dan sebagainya.

“Mereka (UMNO) paling lama memerintah. Mereka juga yang merosakkan negara ini, rosakkan perlembagaan, merosakkan orang Melayu itu sendiri,” jelas Dr Ariffin yang juga Ahli Dewan Negara.

Prof Dr Tajuddin pula berkata, perkara pokok bukan isu ‘kuasa’ Melayu atau tidak kerana negara adalah milik semua rakyat Malaysia dan yang penting adalah penekanan terhadap kepentingan tanggungjawab moral dan masyarakat.

“Sistem yang ada sekarang jelas. Kerajaan yang ada adalah kerajaan oleh rakyat, untuk rakyat. Kita boleh naikkan sesuatu kerajaan, kita juga boleh menjatuhkannya melalui undi.

“Masalahnya apabila kita jahil, kita tidak tahu mengenai sistem yang diamalkan. Macam mana kita nak hilang kuasa kalau kita tahu di mana tempat kita dalam demokrasi?” katanya.

Melayu sebenarnya ditindas UMNO

Sambil menempelak dakwaan jahat bahawa DAP menindas orang Melayu, Ahli Jawatankuasa Eksekutif DAP Pusat, Zairil Khir Johari sebaliknya memberi contoh pelaksanaan dasar Kerajaan Negeri Pulau Pinang  yang terbukti membela Melayu.

“Kita tidak nafi memang ada orang Melayu di Pulau Pinang yang miskin. Ia bukan baru lima tahun, dah lama mereka miskin sejak di bawah pemerintahan kerajaan BN lagi. Soalnya, apa yang BN buat selama memerintah negeri itu.

“Sekarang, antara usaha yang kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang lakukan ialah membela bukan saja orang Melayu tetapi siapa saja yang miskin dan tidak terbela. Kini, Pulau Pinang adalah negeri pertama berjaya membasi kemiskinan tegar,” jelasnya.

Selain itu, mulai tahun ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mengeluarkan status mana-mana keluarga miskin negeri itu dengan menambah pendapatan mereka terkeluar daripada garis kemiskinan.

“Kerajaan negeri akan menambahkan pendapatan setiap keluarga miskin supaya menjadikan pendapatan mereka sekurang-kurangnya RM770 sebulan,” tambah Zairil yang juga Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP.

Beliau berharap rakyat Malaysia berhati-hati dengan maklumat yang disampaikan media arus perdana kawalan BN kerana telah banyak membuat laporan yang tidak benar dan tepat terhadap parti atau negeri. – Roketkini.com

No comments: