Friday, May 31, 2013

Tragedi media Melayu Oleh Zairil Khir Johari


JIKA perkembangan media Melayu mutakhir ini diperhatikan, sifat-sifat kewarasan, keberkecualian dan kesusilaan sudah jelas tidak wujud.

Sentimen perkauman bagai menjadi kelumrahan media Melayu zaman sekarang, baik di kaca mata televisyen atau dalam media cetakan. Nyata trend yang sempit ini sedang diterajui oleh media kawalan UMNO, khususnya Kumpulan Utusan Melayu.

Sejurus selepas Pilihan Raya Umum ke-13, Utusan Malaysia dengan tidak segannya telah mempersoalkan “Apa lagi Cina mahu?” melalui tajuk berita utama, manakala tabloid Kosmo! yang dimiliki kumpulan yang sama telah meluahkan muka depan yang tidak kurang provokatifnya, yakni, “Pengundi Cina bersikap talam dua muka”.

Seperti biasa, fitnah diterbit sebagai fakta dan tohmahan menjadi bahan ulasan para pengarang. Pengundi kaum Cina dipersalahkan atas kemerosotan keputusan pilihan raya Barisan Nasional (BN), meskipun hujahnya tidak logik ― bagaimanakah mungkin golongan yang merangkumi lebih kurang satu suku populasi negara boleh memberi 51 peratus undi popular (53 peratus di Semenanjung) kepada Pakatan Rakyat?

Jelas, kemenangan undi popular Pakatan Rakyat membuktikan bahawa gabungan parti terbabit telah menerima sokongan yang padu daripada segenap masyarakat Malaysia ― namun hakikat ini langsung diabaikan oleh media kawalan UMNO yang tidak ingin menerima kenyataan.

Agenda perkauman kemudian diteruskan dengan seruan Awang Selamat, iaitu suara hati lembaga pengarang Utusan, untuk memboikot syarikat penerbangan Air Asia ekoran kritikan seorang pegawai kanannya, Azran Osman-Rani, yang mencemuh akhbar Utusan kerana bersifat rasis.

Dan jika itu tidak mencukupi, Utusan kemudiannya menyiarkan kenyataan Perkasa yang menyelar Azran sebagai “bongkak” dan “lupa diri”, serta “mengingatkan” Azran agar tidak sesekali “menyentuh” Utusan Malaysia kerana akhbar itu merupakan satu-satunya wadah yang mempertahankan hak orang Melayu di negara ini, seolah-olah segala kejayaan Azran adalah hasil daripada jasa akhbar berkenaan.

Aduhai, malangnya nasib bangsa sehingga perisai perkauman terpaksa menjadi pelindung kepada umat Melayu. Agaknya, tanpa “perlindungan” daripada wira bangsa seperti Utusan dan Perkasa, tidak mungkin Melayu dapat berjaya atas usaha gigih sendiri ― inilah sebenarnya sikap yang memperlekeh dan merendahkan martabat bangsa!

Keadaan ini bukan sahaja sangat mendukacitakan, tetapi amat memalukan, khususnya apabila Utusan Malaysia pernah pada suatu ketika dahulu menjadi tonggak dan peneraju kepada suara masyarakat Melayu yang bebas.

Mungkin ramai yang telah lupa peristiwa 1961 apabila pekerja Utusan, termasuk tokoh kewartawanan seperti Said Zahari (yang ketika itu Ketua Pengarang), Usman Awang (kini Sasterawan Negara), serta barisan penulis dan wartawan seperti Abu Zaki Fadzil, Awam-il Sarkam, Salleh Yusof, Tajuddin Kahar, Zailani Sulaiman, Rosdin Yaakub dan lain-lain telah melancarkan kempen mogok.

Tujuan mogok tersebut adalah untuk membantah pengambilalihan Utusan oleh UMNO yang tidak senang dengan sikap akhbar itu yang kritikal terhadap pemerintah dan pro kepada masyarakat terbanyak.

Akhirnya, 50 tahun kemudian, kekhuatiran Said Zahari, Usman Awang dan para pekerja Utusan pada zaman 60-an yang mahukan Utusan kekal bebas daripada campur tangan politik, sudah pun menjadi kenyataan. Malah, Said Zahari dan Usman Awang tidak mungkin dapat bayangkan betapa corotnya kualiti kewartawanan akhbar yang pernah menjadi perjuangan mereka.

Akibatnya, Utusan sudah hilang wibawa di mata orang Melayu, khasnya golongan kelas menengah seperti Azran yang sudah lelah dengan politik perkauman dan fitnah. Jika tidak kerana langganan kerajaan melalui jabatan, agensi dan anak syarikatnya, Utusan tidak mungkin mampu bernyawa, apatah lagi apabila ia seringkali didapati bersalah oleh mahkamah dan dipaksa membayar ganti rugi kepada mangsa fitnahnya (Lim Guan Eng dua kali, Karpal Singh, Khalid Samad, Azan Ismail sebagai contoh yang terbaru).

Hakikatnya, Utusan yang dahulu menjuarai suara masyarakat terbanyak sudah menjadi alat politik parti konservatif kanan yang ketandusan ilham dan gagal merangkumi gagasan politik baru yang berteraskan idea. Yang paling malangnya, “usaha murni” Utusan serta puak haluan kanan ini sebenarnya tidak memajukan, malah memperbodohkan bangsa sendiri.

Pada saya, keadaan Utusan Malaysia pada hari ini adalah tragedi yang sangat besar kepada warisan akhbar Melayu. Jalan keluar daripada kemelut ini hanya satu ― media massa di negara kita harus dibebaskan.

Pengalaman di negara lain yang telah beralih daripada media terkongkong kepada media yang bebas menunjukkan bahawa akhbar yang berpendirian sempit dan berhaluan ekstrim seperti Utusan Malaysia tidak dapat bersaing dan akhirnya akan berhadapan dengan dua pilihan: tukar pendirian atau tutup kedai. Yang berjaya adalah mereka yang mampu memenuhi kehendak pasaran untuk kewartawanan yang lebih objektif.

Jika warisan akhbar Melayu hendak diselamatkan dan kewibawaan dikembalikan, jalannya adalah melalui pembebasan media. – Roketkini.com

Thursday, May 30, 2013

UMNO-BN, kami sambut kedatangan anda ke alam politik adil pelbagai kaum

Semenjak “kekalahan” BN dalam PRU13 yang lalu (kerana Pakatan Rakyat mendapat sokongan 51 peratus pengundi), semakin hari semakin ramai pemimpin BN memberikan hujah rasional yang selama ini jarang kedengaran.

Saya difahamkan dua hujah utama, iaitu cadangan agar parti-parti politik dalam BN membuka keahlian kepada pelbagai kaum dan cadangan supaya BN itu sendiri menjadi satu parti pelbagai kaum.

Sebelum ini, pemimpin MCA ada menyuarakan cadangan tersebut, kemudian diikuti oleh pemimpin Gerakan dan terbaru cadangan yang datang dari pemimpin nombor dua UMNO iaitu Muhyiddin Yassin. Umumnya, kita ucapkan tahniah atas niat dan kesedaran beliau ini.

Namun, sebelum apa-apa, adalah wajar untuk para elitis UMNO-BN merenung kembali apa yang telah berlaku selama lebih dari 50 mereka memerintah. Apa pun yang ditanam di bibir, hanya Allah SWT sahaja mengetahui isi hati mereka.

Dalam PRU13 baru-baru ini, Pakatan Rakyat khususnya DAP benar-benar diasak dengan permainan politik perkauman yang mana ini menjadi budaya yang disemai oleh segelintir elit politik UMNO-BN. Persepsi buruk yang diolah dengan cara yang sangat dahsyat.

Initipati kepada pembinaan persepsi buruk dengan cara menabur fitnah ini hanya untuk satu tujuan, iaitu menggagalkan perjuangan DAP dan Pakatan Rakyat. Pada masa yang sama untuk meneruskan hegemoni kuasa politik UMNO agar mereka kekal di tampok kuasa zaman berzaman.

Inilah agenda politik UMNO-BN selama ini. Segala dasarnya, baik dalam aspek ekonomi, sosial dan pendidikan juga dimanipulasi menjadi amalan perkauman dalam kempen-kempennya. Agenda hodoh ini wajar didedahkan kepada rakyat secara berterusan dan besar-besaran.

Dalam aspek ekonomi misalnya, persepsi buruk dibina tentang DAP seolah-olah DAP menentang dasar yang melibatkan kepentingan kaum Melayu khususnya dalam isu Dasar Ekonomi Baru (DEB), malah dituduh mahu menghapuskan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Umum tahu pada dasarnya DAP tidak pernah menentang dasar ini, tidak pernah ada satu fakta yang dikeluarkan oleh DAP yang bersabit dengan isu ini. Yang ada hanya tohmahan yang sudah dibuktikan di mahkamah bahawa ianya dakwaan palsu.

DAP bersama-sama dengan Pakatan rakyat, malah bekas-bekas pemimpin UMNO sebelum ini hanya mempertikaikan cara pelaksanaannya yang berat sebelah di mana hanya kroni yang untung sedangkan jutaan orang Melayu masih menderita kerana saham-saham tertentu dibolot oleh pihak-pihak tertentu.

Masalah rasuah, dapat dilihat bagaimana dana peruntukan untuk golongan Melayu miskin hilang entah kemana. Masalah ketelusan, kita persoalkan peluang perniagaan yang dimonopoli oleh kelompok tertentu walaupun kelompok elit itu dari kaum Melayu sendiri. Kesemua penentangan DAP ini melibatkan soal prinsip dan integriti. DAP tidak mahu orang Melayu menjadi mangsa kerakusan kuasa elit UMNO-BN.

DAP menuntut UMNO-BN menjelaskan ke mana hilangnya sahama Bumiputera bernilai RM52 bilion; DAP menuntut UMNO-BN bertindak tegas terhadap pemimpin-pemimpin BN daripada MCA, MIC, UMNO dan sebagainya yang terlibat dalam pelbagai skandal termasuk PKFZ dan NFC yang mencabul amanah wang rakyat.

Kita tidak perlu merasa pelik mengapa dasar integrasi kaum juga masih menjurang hingga ada kumpulan yang tidak tahu menghormati agama dan adat resam sesuatu kaum yang lain. Malah ada segelintir pemimpin yang secara terang-terangan bukan saja menafikan hak sesuatu kaum, malah menghinanya.

Contoh-contoh seperti Zulkifli Nordin, Ibrahim Ali, kumpulan pendesak Perkasa yang secara terang-terangan menghina kaum India dan Cina. Malah ada di kalangan profesional Melayu yang mengatakan bahawa kaum India dan Cina ini sebagai kaum pendatang. Kesemua gaya politik ini membiak dari amalan politik perkauman elit pemimpin UMNO.

Inilah latar politik Malaysia yang dibentuk oleh perangai elit pemimpin UMNO yang dibiarkan oleh para pemimpin BN, malah disokong pula sejak zaman berzaman.

Sebelum berubah mahu menjadi parti pelbagai kaum, adakah para pemimpin UMNO-BN sedar akan semua ini?

Namun demikian, yang jelas hari ini politik perkauman nampaknya sudah tidak lagi popular di kalangan rakyat Malaysia. Buktinya dapat dilihat apabla dengan segala tipu helah, segala tohmahan dan segala manipulasi media massa dalam kempen UMNO-BN, ia gagal menipu semua rakyat. DAP bersama PKR dan PAS terus mendapat tempat di hati rakyat Malaysia, undi popular dimenangi oleh PR.

Yang menyokong dan mengundi adalah rakyat Malaysia, sudah tentu termasuk juga sokongan dari kaum majoriti di Malaysia iaitu Melayu. Sokongan ini tidak datang dari pekerja undangan dari Bangladesh, Filipina atau Indonesia.

Hakikat yang perlu diketahui adalah, kaum Melayu merupakan kaum yang terbukti dari segi sejarah boleh menjadi bangsa yang maju setaraf dengan bangsa-bangsa lain didunia ini. Tamadun Johor Lama, Pembukaan kota Singapura dan Empayar Melaka telah membuktikan bahawa kaum Melayu bijak, boleh berdikari dan bersaing bebas dengan kaum dari empayar besar yang lain.

Jadi mengapa politik hari ini, seolah-oleh mahu menjadikan Melayu sebagai satu bangsa yang berjiwa kecil, takut pada bayang-bayang sendiri dan bergantung kepada ehsan kerajaan? Atas semua senario ini, UMNO-BN sudah tidak punya banyak pilihan kecuali kembali kepada prinsip asas demokrasi iaitu ‘dari rakyat, oleh rakyat dan kepada rakyat’.

Jika benar UMNO-BN mahu berubah:
* Ia mesti membuat kenyataan maaf secara terbuka kepada semua parti politik yang difitnah selama ini, mintalah maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas amalan politik perkauman anda.
* Ia mesti bebaskan semua dakwaan hasutan ke atas pemimpin Pakatan Rakyat dan aktivis rakyat.
* Ia mesti mengambil tindakan amhkamah terhadap semua yang terlibat dalam politik perkauman termasuk Utusan Malaysia dan sesiapa sahaja yang menyebarkan hasutan untuk membenci kaum lain.
Jika tidak, niat murni UMNO-BN untuk menjadi parti pelbagai kaum hanya akan menjadi lawak gelap demokrasi Malaysia. Rasa insaf perlu menjadi prasyarat untuk membasmi perkauman. Politik perkauman yang berdasarkan warna kulit dan sebagainya, hanya akan merosakan masa depan anak-anak kita.

Jangan kita lupa, sungguhpun tune nada pada piano itu terletak pada mata hitam dan putihnya sahaja, bunyi dan iramanya yang tergabung memberikan seribu satu warna yang lain. Itulah lambang kepelbagaian kita, rakyat bangsa Malaysia.

Buat elitis UMNO-BN, kita ucapkan selamat tinggal kepada politik perkauman mereka.

Mahdzir Ibrahim Setiausaha Politik kepada Pengarah Pendidikan Politik DAP

Friday, May 24, 2013

Malaysia tidak boleh mengulang sejarah Myanmar 1990

Demokrasi memberi kuasa kepada majoriti dan menghormati hak warga minoriti. Demokrasi tidak membenarkan pihak minoriti untuk menindas pihak majoriti, jika tidak kita akan berdepan situasi seperti kerajaan perkauman Afrika Selatan yang mengamalkan sistem apartheid dengan menindas kaum majoriti kulit hitam.

Di Malaysia tidak pernah ada mana-mana pakatan pembangkang yang memenangi undi popular lebih daripada BN, atau menang lebih daripada 50% undi popular. Inilah yang telah membolehkan BN melakukan persempadanan semula yang membenarkan BN memenangi lebih banyak kerusi parlimen, melebihi undi popular yang mereka terima.

Dengan tidak menghormati prinsip ‘satu orang, satu undi, satu nilai’, BN telah mengakibatkan ketidakadilan di mana satu undi untuk BN boleh bersamaan dengan hampir 10 undi untuk Pakatan Rakyat. Penghinaan terhadap prinsip keadilan ini boleh dilihat di kawasan parlimen Putrajaya yang hanya mempunyai 17,000 pengundi dimenangi BN, berbanding kawasan parlimen Kapar dengan hampir 160,000 pengundi yang dimenangi Pakatan Rakyat.

Memandangkan tidak ada parti yang pernah menang lebih banyak undi popular daripada BN sejak 1957, penghinaan terhadap demokrasi ini hanya terserlah dalam pilihan raya umum 2013 apabila BN kalah undi popular untuk pertama kali dalam sejarah. BN mencatatkan hanya 47% undi popular berbanding 51% untuk Pakatan Rakyat, namun tetap memenangi 60% kerusi Parlimen, dengan baki 40% dimenangi Pakatan Rakyat. Kesannya kini terdapat Kerajaan Persekutuan minoriti, Perdana Menteri minoriti dan Menteri Dalam negeri minoriti yang memerintah Malaysia.

Walaupun Pakatan Rakyat menang undi popular dalam PRU 2013, Pakatan Rakyat dan DAP tidak berhasrat untuk menggulingkan kerajaan BN. DAP dan Pakatan Rakyat sentiasa memilih perubahan kerajaan secara aman, seiring dengan peruntukan undang-undang Perlembagaan Persekutuan.
Namun kerajaan BN tidak berperangai seperti sebuah kerajaan minoriti, malah seolah-olah ia kerajaan autoritarian. Penangkapan tiga pemimpin anti-BN, Tamrin Ghafar dari PAS, Tian Chua dari PKR dan pemimpin NGO HAris Ibrahim serta rampasan lidah parti Pakatan Rakyat; Suara Keadilan PKR, Harakah PAS dan Rocket DAP mengingatkan kita tentang apa yang pernah terjadi di Myanmar selepas penguasa tentera kalah dalam pilihan raya.

Pada tahun 1990, pergerakan demokrasi di Myanmar pimpinan Pemenang Hadiah Keamanan Nobel, Aung San Syu Kyi menang pilihanraya umum dengan 80% kerusi, tetapi tidak dibenarkan mengambil alih kuasa; lalu para jeneral mengambil alih dengan melaksanakan pemerintahan tentera yang kejam dan melanggar hak asasi manusia. Tindakan keras yang terjadi di Malaysia yang dilakukan oleh dua ekstremis yang baru dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara adalah peringatan yang kena pada masanya untuk menghalang Malaysia daripada jatuh ke kancah yang merbahaya ini.

Sambil kita menyambut Hari Wesak dengan penuh rasa kasih sayang untuk semua, kita juga mesti mengatakan ‘tidak’ terhadap usaha terakhir mereka ini yang bertujuan untuk membungkam suara-suara hati nurani yang berani berbeza pendapat. Rakyat Malaysia daripada semua keturunan dan agama yang telah mengundi demi demokrasi, kebebasan, keadilan, kebenaran dan integriti mesti berganding bahu secara aman untuk menghalang era gelap zaman baru ini. Malaysia tidak boleh mengulangi sejarah Myanmar 1990.
 
Lim Guan Eng Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan

Monday, May 20, 2013

Hentikan pencabulan hak rakyat untuk bersuara!

Kami mengecam tindakan kerajaan Barisan Nasional menahan pemimpin mahasiswa Adam Adli dan menggesa Perdana Menteri Dato' Sri Najib Tun Razak supaya menghentikan segala usaha yang cuba menghapus suara rakyat yang tidak puas hati dengan penipuan yang telah berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). Kerajaan patut menghormati kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan yang dijaminkan oleh Perkara 10, Perlembagaan Malaysia.

Amat malang sekali, minggu pertama penggal baru kerajaan Najib dan Menteri Dalam Negeri Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi telah dicemari oleh perbuatan anti-demokrasi yang menindas rakyat Malaysia. Penggunaan Akta Hasutan 1948 yang merupakan warisan penjajah menunjukkan bahawa Barisan Nasional sanggup melakukan apa sahaja demi mengekalkan kuasa.

Sebelum ini juga, Tan Kar Hing, ADUN Simpang Pulai, Perak yang merupakan penganjur Himpunan Blackout di Perak, serta dua orang siswa Universiti Sains Malaysia (USM) yang menganjurkan GELAP 13, telah dipanggil oleh polis untuk memberikan keterangan. Nik Nazmi Nik Ahmad, ADUN Seri Setia, Selangor juga telah didakwa dibawah Akta Perhimpunan Aman kerana Himpunan Blackout di Stadium Kelana Jaya, Selangor.

Hari ini, polis juga menyiasat kerajaan Pulau Pinang dibawah Akta Himpunan Aman mengenai program perhimpunan yang dianjurkan di Padang Kota Lama pada 18 Mei 2013.

Jelas sekali, semua ini merupakan cubaan pihak berkuasa untuk menghapuskan suara rakyat yang mempertikaikan kemenangan Barisan Nasional dalam PRU13 melalui taktik-taktik yang tidak sah.
Kami menggesa supaya kerajaan pusat segera membebaskan Adam Adli, dan membatalkan dakwaan ke atas Nik Nazmi Nik Ahmad. Kami juga berharap kerajaan pusat akan berhenti mengheret dan mendakwa rakyat yang berhimpun secara aman untuk meluahkan pendapat mereka.

Kedua-dua Akta Hasutan dan Akta Himpunan Aman patut dimansuhkan kerana bercanggah dengan prinsip hak asasi manusia yang termaktub dalam Perlembagaan dan konvensyen antarabangsa. Kerajaan yang berjiwa rakyat tidak akan takut kepada rakyat dan tidak akan menakut-nakutkan rakyat.

Steven Sim Chee Keong Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAPSY & Ahli Parlimen Kawasan Bukit Mertajam Zairil Khir Johari Timbalan Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bukit Bendera
 

Friday, May 17, 2013

“Saya bawa usul ke Parlimen kutuk keangkuhan Ahmad Zahid”: Kit Siang


KUALA LUMPUR, 17 MEI: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang sedih dengan kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang dianggap cuba lari daripada prinsipnya apabila lebih berminat membela kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai kenyataan peribadi.

Katanya, kenyataan Ahmad Zahid supaya pengkritik Pilihan Rayan Umum ke-13 meninggalkan negara dianggap Khairy sebagai pandangan peribadi dan tidak mencerminkan pendirian kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Kenyataan Ahmad Zahid itu sama dengan kenyataan seorang Menteri UMNO pada awal tahun 1970an ketika mencelah satu ucapan saya di Parlimen yang memberitahu sekiranya saya tidak suka dengan dasar kerajaan UMNO/BN, saya boleh tinggalkan negara.

“Saya pantas bertindak balas dengan menyatakan saya bercakap bagi pihak rakyat Malaysia di Parlimen, sekiranya dia tidak suka dengan apa yang saya katakan, dia juga boleh tinggalkan negara dan sejak itu tidak ada lagi Ahli Parlimen atau Menteri UMNO mengulangi tindakan sedemikian terhadap saya di Parlimen,” katanya dalam kenyataan media, hari ini..

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, jika Ahmad Zahid dan pemimpin UMNO/BN lain yang tidak suka rakyat Malaysia menuntut perubahan untuk sistem pilihan raya yang bersih, bebas dan adil, mereka juga sepatutnya meninggalkan Malaysia.

“Apa yang perlu diberi perhatian adalah keangkuhan dan penghinaan terhadap pandangan awam oleh seorang Menteri di dalam kerajaan yang legitimasinya sendiri diragui buat pertama kalinya di dalam sejarah negara.

“Apabila legitimasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang hanya memperoleh 47% daripada undi popular berbanding Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat, yang memenangi 51% undi popular, dipertikaikan, maka legitimasi Kabinetnya yang mengangkat sumpah semalam tentu turut dipertikaikan,” tambahnya.

Beliau berkata, dalam keadaan legitimasi mereka diragui, menteri sepatutnya lebih merendah diri, mudah didekati dan sensitif terhadap kehendak rakyat Malaysia, bukannya angkuh dan menghina pandangan awam seperti yang kenyataan Ahmad Zahid, seorang menteri lama dalam Kabinet Najib selepas PRU13.

Katanya, Ahmad Zahid layak menerima kutukan di atas keangkuhannya, yang jelas berbeza dengan dasar 1Malaysia dan “Rakyat Didahulukan” kerana tindakan Ahmad Zahid itu bertentangan dengan lima dekad pembinaan bangsa majmuk Malaysia.

“Apabila Parlimen bersidang pada pertengahan Jun ini, saya akan mengusulkan kutukan terhadap Ahmad Zahid terhadap kenyataannya yang angkuh dan menjengkelkan yang menyuruh rakyat Malaysia yang tidak puas hati dengan keputusan PRU-13 meninggalkan negara.

“Saya juga menjemput Ahl Parlimen yang mahu menyertai saya bersama-sama menaja usul terhadap Ahmad Zahid dengan mengemelkan persetujuan mereka (ke limkitsiang@gmail.com) supaya mengutuk dan mengumpul tandatangan paling banyak dalam sejarah Parlimen dapat dihantar sebaik saja notis Parlimen untuk sidang pertama Parlimen ke-13 dikeluarkan,” katanya.

Menurut Kit Siang, beliau juga menjemput mereka mencadangkan draf usul kutukan terhadap Ahmad Zahid, yang akan diletak di ruang awam bagi menjemput orang awam memberi pandangan dan maklumbalas.

Beliau juga mengalu-alukan Ahli Parlimen BN yang berprinsip dan berani untuk bersama menaja usul terhadap Ahmad Zahid, kerana sentiment buruk yang diluahkan Menteri Dalam Negeri itu mesti dikutuk semua Ahli Parlimen dan semua warga, tidak kira mana-mana parti.-Roketkini.com

Wednesday, May 15, 2013

Zairil : Tak akan Melayu hilang di Malaysia

SHAH ALAM – "Tak akan Melayu hilang di Malaysia."

Demikian reaksi Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Zairil Khir Johari ketika diminta membuat penggulungan pada wacana Sinar Harian siri ke-20 yang mengupas topik Pasca PRU13 : Ke Mana Haluan Politik Melayu, hari ini.

Beliau memberitahu hadirin bahawa kemungkinan Melayu hilang di Malaysia adalah suatu perkara yang mustahil.

“Di negara Malaysia, kuasa Melayu sampai bila-bila pun tidak akan hilang. Tidak mungkin. Adalah suatu perkara yang mustahil (hilang).

“Kerana apa? Pertama, dari segi demografi, kedua, dari segi undang-undang dan ketiga dari segi Raja-Raja Melayu,” katanya ketika menjadi panelis pada wacana siri ke-20 ini. [Lihat Video]

Justeru itu katanya dari awal lagi beliau hairan mengapa tajuk ini masih diperbincangkan.

“Pertama, dari segi demografi. Masyarakat Melayu merupakan masyarakat yang terbesar. Masyarakat Cina dalam 25 peratus dan semakin mengecil. Masyarakat Melayu semakin membesar. Kalau ikut trend demografi, sampai bila-bila pun, masyarakat Melayu akan menjadi masyarakat yang terbesar di Malaysia.

“Dari segi undang-undang. Semua kedudukan keistimewaan hak orang Melayu adalah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Yang tidak boleh dicabar oleh siapa-siapa termasuk parti DAP. Jadi, sampai bila pun, tidak akan hilang,” katanya.

Tambahnya, “ketiga, dari segi Raja-Raja Melayu. Macam mana pun Raja-Raja Melayu akan jadi pelindung kepada hak-hak orang Melayu. Jadi, tiga-tiga sebab ini adalah hakikat bahawa kuasa Melayu tidak akan hilang di negara Malaysia. Tidak mungkin.”

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera menjadi panelis pada wacana anjuran Sinar Harian bersama Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.

Program dikendalikan oleh pensyarah Fakulti Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara, Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin.

Tuesday, May 14, 2013

Mampukah UMNO membuktikan ciri-ciri 1Malaysianya dengan bertindak terhadap Datuk Mohd Noor?

Pada ulangtahun ke 44 tragedi rusuhan 13 Mei 1969, rakyat Malaysia terus diingatkan bagaimana mereka telah membuat pilihan yang tepat pada PRU ke 13 dengan menolak BN dan UMNO yang perkauman. 51% rakyat Malaysia telah memilih untuk menyokong Pakatan Rakyat dan menolak kebencian kaum yang dibawa BN dan UMNO, diperlihatkan daripada seruan akhbar UMNO, Utusan Malaysia untuk menyambut 13 Mei sebagai "hari suci", seolah-olah mahu meraikan kematian ratusan malah mungkin ribuan rakyat Malaysia yang tidak berdosa.

Walaupun majoriti rakyat Malaysia dari kalangan Melayu, India, Cina, Kadazan dan Iban telah menolak politik ketakutan dan kebencian BN, pemimpin UMNO terus mencetuskan kebencian kaum terhadap orang bukan Melayu. Hari ini kita melihat calon UMNO/BN yang kalah di Shah Alam berbohong bahawa kononnya DAP mahukan Melayu mati dan Lim Kit Siang mencetuskan rusuhan 13 Mei di Kuala Lumpur, walaupun Lim Kit Siang berada di Sabah pada waktu itu.

Bekas Hakim Mahkamah Rayuan dan Ahli Jawatankuasa Rayuan Disiplin UMNO, Datuk Mohd Noor Abdullah mengugut masyarakat Cina supaya bersedia untuk tindak balas masyarakat Melayu kerana "pengkhianatan" mereka dalam PRU ke-13 yang baru selesai. Datuk Mohd Noor pastinya merujuk kepada tindak balas Melayu UMNO dan bukan orang Melayu yang mengundi DAP dan pakatan Rakyat. Bagaimana mungkin seorang hakim boleh menjadi begitu tidak rasional dan tidak masuk akal sehingga sanggup mengatakan bahawa dengan mengundi parti berasaskan Melayu, PAS dan PKR, dan bukan UMNO, maka orang Cina sudah mengkhianati orang Melayu?

Kenyataan sedemikian oleh pemimpin UMNO nyata telah menimbulkan kemarahan bukan sahaja orang Cina tetapi seluruh rakyat Malaysia. Ketua Pembangkang Pakatan Rakyat merangkap calon Perdana Menteri, datuk Seri Anwar Ibrahim telah dengan tepat menggambarkan kenyataan perkauman Datuk Mohd Noor sebagai "memalukan Klu Klux Klan (KKK) dan membanggakan diktator Nazi Jerman, Adolf Hitler" KKK adalah sebuah pertubuhan haram ultra-kulit putih yang menindas orang kulit hitam, dan Hitler adalah rasis paling agung dalam sejarah dunia. Anwar berjanji bahawa Pakatan Rakyat akan memperlihatkan perbezaan yang jelas berbanding UMNO dengan tidak menyebarkan perbalahan kaum tetapi menyebarkan kedamaian dan rasa hormat sesama rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

Bolehkah Datuk Mohd Noor memperlihatkan bukti bagi menyokong tuduhannya bahawa orang Cina sedang mengatur untuk merampas kuasa politik daripada orang Melayu? Sekali lagi, kenyataannya yang mengugut untuk merampas harta dan hak orang bukan Melayu adalah satu usaha besar menutup kegagalan menjawab isu rasuah oleh sekalian Melayu, Cina dan India dalam BN.

Apa yang telah Mohd Noor lakukan sebagai ahli jawatankuasa aduan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memerangi rasuah, terutamanya skandal kehilangan RM52 bilion saham Bumiputera, yang hilang sebelum sempat sampai kepada Melayu dan Bumiputera miskin? Kalau Pakatan Rakyat telah menang kuasa, suatu siasatan penuh pastinya akan dilakukan dan memaksa mereka yang telah "menelan" RM52 bilion itu untuk membayar balik kepada rakyat Melayu dan Bumiputera miskin. Sama juga, RM3 bilion yang dicuri daripada masyarakat India dan RM14 bilion daripada masyarakat Cina mesti dikembalikan.

Apabila Suruhanjaya Pilihanraya dan SPRM membenarkan siasatan politik wang dan rasuah dikompromi, jalan mudah untuk keluar ialah dengan mengeksplotasi kebencian kaum bagi menyorokkan kegagalan mereka. Kenapa Datuk Mohd Noor tidak terfikir pun tentang Melayu miskin yang terlepas saham RM52 bilion? Kenapa Datuk Mohd Noor tidak mendesak supaya tindakan diambil terhadap Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang enggan bekerjasama dengan SPRM serta mencabar dan menyerang SPRM yang disebutnya sebagai tidak jujur dan "nakal"?

Bagi seorang Ketua Menteri Sarawak, tindakan beliau yang enggan bekerjasama dengan pihak SPRM tentang tuduhan rasuah terhadapnya adalah satu pelanggaran serius terhadap tugas dan tanggungjawab. Di bawah Sekseyn 47 dan 48 Akta SPRM 2009, keengganan bekerjasama dengan SPRM apabila seseorang disiasat boleh menjadi satu kesalahan yang boleh dihukum dengan denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga 2 tahun atau kedua-duanya sekali. Begitu pun SPRM gagal bertindak terhadap Taib Mahmud tanpa sebarang protes daripada seorang bekas hakim seperti Datuk Mohd Noor.

Mampukah UMNO membuktikan ciri-ciri 1Malaysia nya dengan bertindak terhadap Datuk Mohd Noor kerana mencetuskan kebencian, ketakutan dan mengugut masyarakat Cina supaya bersedia menerima tindak balas daripada Melayu UMNO? Jika UMNO gagal berbuat demikian, UMNO tidak patut menyalahkan MCA atau Gerakan kerana gagal mendapatkan sokongan bukan-Melayu tetapi mesti bertanggungjawab sepenuhnya kerana mengakibatkan kejatuhan merudum dalam pilihanraya bagi kedua-dua MCA dan Gerakan.

Lim Guan Eng Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan

Friday, May 10, 2013

Kit Siang 'tak terlintas fikir ' saranan bersama BN

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang berkata parti itu belum bertemu untuk membincangkan pelbagai cadangan mengenai peranan DAP dalam kerajaan baru, tetapi beliau sendiri pun tidak terlintas untuk memikirkan cadangan tersebut.

"Beri (rakyat) masa untuk memberi pelbagai cadangan dan beri kami masa untuk menjawabnya," katanya dalam satu sidang akhbar di ibupejabat DAP hari ini.
Lim berkata, beliau tidak terlintas memberi sebarang pertimbangan terhadap sebarang cadangan.

Beliau mengulas cadangan bekas menteri penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin supaya DAP menyertai BN bagi mewakili kepentingan masyarakat Cina dalam gabungan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kepimpinan dan Strategi Asia, Datuk Michael Yeoh juga menyarankan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya membentuk kerajaan campuran yang luas yang merangkumi DAP, PKR dan PAS sebagai rakan.

Wednesday, May 8, 2013

Kit Siang denies ‘Utusan’ article, says it proves paper’s seditious act

KUALA LUMPUR, April 8 — DAP today denied the allegations in an Utusan Malaysia article today, with the party’s advisor Lim Kit Siang saying that it was a self-admission by the Umno-linked paper that it had committed sedition.

“It is an admission that Utusan has committed seditious, incendiary and inflammatory articles and they justify by saying that 'siapa dulu memulakan provokasi' (who started the provocation).”

“We deny completely that we had anything to do with the various allegations made in this defence...we did not provoke them. We had nothing to do with all the things reported in this article,” Lim said at a press conference at the party’s headquarters here, referring to a piece titled “Siapa mula provokasi dahulu? (Who started the provocation first?) by the Malay-language paper’s columnist Zulkifli Bakar.

In the column, senior editor Zulkifli Bakar claimed that DAP should be held responsible if chaos erupts, in a statement that echoes past warnings of a possible repeat of the May 13, 1969 race riots.

“The DAP should not be evasive in this matter and attack Utusan Malaysia.

“And they must be ready to be responsible if the country erupts into chaos because it was them that started the extreme political provocation to influence the Chinese to reject BN,” Zulkifli had written when defending Utusan’s choice of 'Apa Lagi Cina Mahu? (What more do the Chinese want?)' as its frontpage headline yesterday.

During today’s press conference with other DAP leaders, Lim also urged Prime Minister Datuk Seri Najib Razak not to “play with fire”.

Lim said the key issue was Najib’s stand as the country’s prime minister, while the suing of Utusan would be a secondary issue.

Lim said the Attorney-General must take action against Utusan if he is “professional and independent”.

The police started investigating Utusan Melayu for sedition yesterday, hours after the Umno-owned daily sparked a nationwide uproar with its incendiary front page report seen to blame the Chinese for the BN’s weaker score in Election 2013.

Tuesday, May 7, 2013

PRU-13: DAP menang 38 kerusi Parlimen


KUALA LUMPUR, 6 MEI: DAP memperoleh lebih 70 peratus daripada jumlah kerusi Parlimen yang ditandinginya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), apabila memenangi 38 daripada 51 kerusi, dengan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berjaya menembusi kubu kuat Barisan Nasional (BN) di Johor.

Di Parlimen Gelang Patah, Kit Siang mengalahkan bekas Menteri Besar Johor, Datuk
Abdul Ghani Othman dengan majoriti 14,762 undi.
Kemenangan itu membuktikan pengundi Cina di kawasan Parlimen itu memberi sokongan padu kepada DAP tambahan pula peningkatan pengundi keluar mengundi iaitu sebanyak 89.1 peratus berbanding anggaran di seluruh negara antara70 dan 80 peratus yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Selain Gelang Patah, calon DAP juga menang di Kluang, Bakri dan Kulai, bagaimanapun tewas di Labis dan Tanjong Piai.

Pada PRU 2008, DAP menang 28 kerusi parlimen.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Bagan dengan majoriti 34,159 undi serta kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Puteh dengan majoriti 7,700 undi.
Berikutan itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Teng Chang Yeow mengumumkan peletakan jawatan beberapa jam selepas keputusan pilihan raya diumumkan kerana bertanggungjawab terhadap kegagalan BN merampas semula kerusi negeri itu daripada Pakatan Rakyat.

Di Kuala Lumpur, DAP menang semua lima kerusi Parlimen yang ditandinginya iaitu di
Kepong, Segambut, Bukit Bintang, Seputeh dan Cheras.

Di Perak, semua tujuh calonnya menang dengan margin selesa di kebanyakan
kerusi Parlimen majoriti Cina iaitu Taiping, Ipoh Timor, Ipoh Barat, Batu Gajah, Beruas, Kampar dan Telok Intan.

Selangor juga menyaksikan DAP mengekalkan penguasaannya di Puchong (Gobind
Singh Deo), PJ Utara (Tony Pua) dan Klang (Charles Santiago). Pendatang baru,
Ong Kian Ming juga berjaya menewaskan Datuk Yap Pian Hon (BN) di Parlimen Serdang.

Di Melaka, calon DAP, Sim Tong Him mengekalkan kerusi Parlimen Kota Melaka,
namun kalah di Alor Gajah menerusi Damian Yeo Shen Li, serta kekal di Seremban
dan Rasah.

Di Sabah, DAP memenangi kerusi Kota Kinabalu dan Sandakan, namun kalah di
Sepanggar dan Putatan.

Di Sarawak, pengundi terutama di Bandar Kuching, Stampin, Lanang, Sarikei
dan Sibu, memilih calon DAP sebagai wakil rakyat mereka di Parlimen, manakala BN
menguasai Mas Gading, Serian, Mukah, Kapit, Bintulu dan Lawas. – Roketkini.com

Saturday, May 4, 2013

DAP tetap menjunjung Perlembagaan Persekutuan

Oleh kerana fitnah yang ditabur oleh para pemimpin UMNO dan Barisan Nasional yang disebarkan pula oleh media arus perdana, sama ada akhbar harian, TV dan radio semakin menjadi-jadi terhadap DAP dan Pakatan Rakyat, saya tampil untuk menjelaskan hakikat yang sebenar serta mendedahkan pembohongan UMNO-BN yang amat berbahaya itu.

DAP adalah parti politik yang sah yang menerima dan menghormati keluhuran Perlembagaan Persekutuan 1957 yang menjadi kontrak sosial untuk kita rakyat Malaysia. Inilah pendirian DAP sejak parti ini ditubuhkan pada tahun 1966, dan sejak dahulu hingga sekarang kami tetap berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan.

Malah, untuk menjelaskan sekali lagi pendirian DAP, pada tahun lalu, iaitu pada 8 Januari 2012, Persidangan Kebangsaan DAP telah meluluskan DEKLARASI SHAH ALAM 2012 yang dengan terang dan jelas menghasratkan Impian Bangsa Malaysia yang beteraskan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam usaha untuk mengecapi impian ini, DAP antara lain telah mengulangi komitmen untuk:
  1. Mempertahankan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. DAP komited untuk menjunjung Perlembagaan Persekutuan Malaysia sebagai undang-undang yang paling agung negara dan meluhurkannya dalam semangat Merdeka 1957 dan Perjanjian Malaysia 1963.
  2. Memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputra serta hak-hak kaum-kaum lain, seperti yang termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.
  3. Memastikan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta kebebasan untuk mengamalkan agama-agama lain dengan aman dan damai, seperti yang termaktub dalam Artikel 3 dan 11 Perlembagaan Persekutuan.
  4. Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan seperti yang termaktub dalam Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan, serta menggalakkan penggunaan dan pengajian bahasa-bahasa ibunda lain untuk membentukkan masyarakat yang cemerlang dan berbilang bahasa.
Justeru, deklarasi dan pendirian serta prinsip DAP selama ini tetap kekal untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan. Ia juga dengan jelas mendedahkan fitnah, pembohongan dan penipuan para pemimpin UMNO-BN serta para pecacai mereka, termasuk cybertroopers UMNO-BN, yang sering mmenyemarakkan api perkauman dengan menuduh kononnya DAP adalah anti-Melayu dan anti-Islam.

Semoga semua pengundi Malaysia, khususnya orang Melayu dan Islam, menolak fitnah dan menerima kebenaran. Mari kita ubah. Ambil yang jernih, buang yang keruh. Masanya sudah tiba untuk menerima yang benar dan menolak yang batil.
 
Lim Guan Eng Setiausaha Agung DAP, calon penyandang Parlimen Bagan & Ketua Menteri Sementara Pulau Pinang