Wednesday, August 28, 2013

Tanda Putera fitnah perkauman, bazir wang cukai rakyat

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang sekali lagi melahirkan kekesalannya berhubung penayangan filem kontroversi Tanda Putera yang akan ditayangkan seluruh negara mulai Khamis ini.


Beliau menegaskan, amat tidak wajar untuk sengaja mencipta kejadian palsu yang boleh memburukkan permasalahan kaum dalam negara sedangkan filem itu dibiayai oleh wang cukai rakyat pelbagai kaum.

“Ia adalah kemuncak sikap jenayah tidak bertanggungjawab dan anti nasional untuk sesiapa sahaja mereka-reka kejadian kencing palsu sebagai salah satu sebab yang dikatakan memprovokasi rusuhan 13 Mei 1969 tanpa asas fakta di dalam mana-mana bahan sejarah, sama ada dokumentasi atau fotografi, terutama dalam filem dibiayai dengan wang cukai rakyat.

“Kejadian palsu yang menggambarkan seorang pemuda Cina kencing di hadapan kediaman rasmi Menteri Besar Selangor itu boleh menjejas, mengancam hubungan antara kaum, membakar, menghasut kebencian dan memudaratkan kepada usaha-usaha pembangunan negara untuk menggalakkan keamanan serta sentiasa berada dalam keadaan muhibah dan harmoni.

“Ia amat menyedihkan jika filem terbaru arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba diingati sebagai filem ‘kencing’ kerana pembohongan yang tidak bertanggungjawab membayangi seluruh filem itu,” katanya dalam kenyataan,semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen DAP Gelang Patah menyatakan tidak ada ‘lesen kreatif’ yang membenarkan perbuatan jenayah tidak bertanggungjawab dan anti nasional dalam negara.

“Walaupun Shuhaimi Baba mengakui bahawa ianya adalah filem cereka sekitar rusuhan kaum 13 Mei, beliau secara khusus harus mengakui bahawa insiden ‘kencing’ di hadapan kediaman rasmi Menteri Besar Selangor adalah khayalan imaginasi dan tidak ada takrif ‘lesen kreatif’ mewajarkan tindakan tidak bertanggungjawab dan anti nasional itu.

“Shuhaimi yang berbangga dirinya sebagai ‘pengasas awal filem-filem seram’ tidak boleh menganggap ‘Tanda Putera’ sebagai genre ‘filem-filem hantu’ yang pernah dia arahkan dulu memberikannya ‘lesen kreatif’ untuk membuat adegan rekaan melulu yang boleh membawa kesan buruk hubungan antara kaum,” tegasnya.

Portal berita, Malaysiakini bertarikh 20 Julai 2012 melaporkan antara adegan yang yang dipaparkan dalam Tanda Putera adalah peristiwa Lim Kit Siang kencing pada tiang bendera di hadapan kediaman rasmi Menteri Besar Selangor, Datuk Harun Idris.

Namun Kit Siang menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu kerana beliau tidak berada Kuala Lumpur pada 11, 12 dan 13 Mei 1969 dan gambar yang digunakan dalam facebook ‘Tanda Putera’ bukan pada tahun 1969 tetapi dari kejadian yang berbeza di Sabah 15 tahun kemudian, tahun 1984.

Seorang saksi, Ahmad Habib, yang ketika itu seorang pelajar tahun kedua ijazah pertama Institut Teknologi Mara (ITM) dan berada di rumah Datuk Harun Idris semasa 13 Mei 1969, turut menyatakan adalah mustahil untuk berlakunya insiden ‘kencing’ dalam kawasan yang diawasi dengan rapi dan ketat di kediaman rasmi itu.

“Ia menjadi satu misteri mengapa insiden ‘kencing’ episod begitu penting kepada filem ‘Tanda Putera’ walaupun tidak mempunyai asas fakta,” ujarnya. -Roketkini.com

Monday, August 26, 2013

Kerajaan perlu perjelas kos ambil alih sistem saman lalulintas AES

DAP menyeru pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein melaksanakan tanggungjawabnya dengan memberitahu rakyat jangkaan kos yang terlibat dalam pengambilalihan operasi dan penguatkuasaan Automated Enforcement System (AES).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Kampung Tunku, Lau Weng San berkata, penjelasan harus diberikan agar rakyat dapat mengetahui sama ada pengambilalihan itu satu bentuk ‘bail out’ bagi menolong syarikat-syarikat kroni yang tenat dari segi kewangan.

“Soalan ini munasabah kerana pernah dilaporkan sebelum ini bahawa kedua-dua syarikat pengendali AES, iaitu Beta Tegap Sdn Bhd dan Automated Traffic Enforcement System (ATES) Sdn Bhd didesak oleh bank-bank kerana gagal membuat bayaran balik pinjaman mengikut jadual akibat ditimpa masalah aliran tunai jutaan ringgit.

“Rakyat juga diberitahu bahawa mengikut kontrak yang ditandatangani dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kedua-dua syarikat ini harus menyediakan perkhidmatan kepada unit penguatkuasaan JPJ secara berterusan tanpa gangguan sejak bulan September tahun 2012 sehingga tamat tempoh lima tahun kontrak di mana penyerahan peralatan akan dilakukan.

“Lebih-lebih lagi, apabila kerajaan persekutuan berkali-kali telah mengatakan bahawa pelaksanaan sistem AES ini langsung tidak melibatkan wang kerajaan, kami bimbang kerajaan sekarang perlu mengambilalih operasi dan penguatkuasaan AES ini dengan kos,” kata beliau yang juga Setiausaha Organisasi DAP Selangor dalam kenyataan, hari ini.

Laporan dari portal berita, Free Malaysia Today sebelum ini memaparkan bahawa sebuah bank komersil terkemuka telah mengambil tindakan membeku akaun salah sebuah syarikat itu apabila gagal membuat bayaran balik pinjaman. Juga dilaporkan bahawa Beta Tegah dan ATES telah berusaha untuk mengadakan rundingan dengan Kementerian Pengangkutan dan JPJ tentang masa depan projek itu berikutan masalah kekangan aliran tunai.

Selain itu, carian di laman sesawang Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati Beta Tegap sedang menanggung kerugian terkumpul sebanyak RM7.62 juta pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2012.

Lau menegaskan kerajaan tidak boleh berdiam diri dan mengelak dari menjawap soalan ini, jika tidak ianya pasti sengaja dilakukan bagi membolehkan dua syarikat kroni mereka itu terselamat.

“Ini telah menimbulkan banyak tanda soal, sama ada pengambilalihan kedua-dua buah syarikat pengendali AES ini bertujuaan untuk menyelamatkan mereka akibat terdesak oleh bank untuk membayar balik pinjaman?,” soalnya. -Roketkini.com

Friday, August 23, 2013

29 September tarikh pemilihan semula CEC


cec meeting

DAP menetapkan 29 September depan sebagai tarikh pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC). Pemilihan semula itu akan diadakan di Lembah Klang. 

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, parti juga memutuskan bahawa calon-calon untuk pemilihan semula CEC kali ini adalah daripada senarai yang sama seperti dalam Kongres Kebangsaan 2012 lalu.

“Kami juga memutuskan untuk membenarkan perwakilan yang digantung atau dipecat mengambil bahagian, namun terpulang kepada mereka untuk ikut serta atau tidak,” ujarnya.

“Keputusan mesyuarat kali ini adalah sebulat suara mengadakan pemilihan semula pada tarikh 29 September 2013, bertempat di Lembah Klang  dan ianya berkemungkinan berlangsung di Petaling Jaya. Kami akan putuskan lokasi tetapnya kemudian.

“Calon-calon dalam pemilihan semula CEC nanti adalah berdasarkan senarai yang sama seperti Kongres Kebangsaan, Disember lalu, kecuali calon-calon itu dengan sukarela menarik diri.

“Ini kerana tidak ada sebarang kontroversi dalam senarai calon-calon dan ROS (Pendaftar Pertubuhan) juga menyatakan hanya pemilihan semula saja harus dibuat,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kebangsaan DAP, semalam.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen DAP Bagan menegaskan, perwakilan yang telah digantung atau dipecat selepas Kongres Kebangsaan 2012 turut layak mengambil bahagian dalam pemilihan kali ini.
Ketua Menteri Pulau Pinang itu turut menyatakan bahawa DAP akan menangguhkan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan konvensyen negeri yang dijadual di antara Ogos dan Disember ini untuk memberi laluan kepada pemilihan semula CEC.

Pada masa yang sama, beliau mengumumkan Ketua Whip DAP, Anthony Loke dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Kongres Khas tersebut manakala Ahli Parlimen DAP Serdang, Dr Ong Kian Ming sebagai Pegawai Pengurus Pemilihan dan sebuah firma perakaunan antarabangsa sebagi pemantau proses pengiraan.

Guan Eng turut mengulangi bahawa tindakan mengadakan pemilihan semula ini dilakukan di bawah bantahan untuk mengelakkan parti dari diharamkan ROS.

“ROS langsung tidak mahu bertemu dengan kami, mereka kini jelas terbukti merupakan alat UMNO.
 “Walaupun kami memenuhi segala permintaan mereka dan menjawab kecurigaan pendaftar dengan sewajarnya. 

Baru-baru ini, Anthony Loke telah mengemukakan bukti pemilihan CEC berjalan mengikut prosedur dengan menunjukkan bukti rekod kehadiran, tanda tangan serta notis, namun, sehingga sekarang tidak ada sebarang sebab dinyatakan ROS mengapa DAP perlu buat pemilihan semula,” katanya. -Roketkini.com

Wednesday, August 21, 2013

Penang shootings: IGP should not be troubled over calls for transparency

IGP Tan Sri Khalid Abu Bakar should not be troubled over calls for the police to be transparent over the killings of 5 men in Penang.

People have been killed. Their families will want and deserve answers. Is that too much to ask? Such is a natural consequence in cases like these and there is really nothing wrong with it.

Nobody is demanding anything extraordinary from the police at this stage. All that is sought for are answers over the manner in which the police acted in this case. There should be no difficulty in responding positively to these demands.

Khalid should take this as an opportunity to show that the police did no wrong. If he is certain that his men acted strictly in line with the standard operating procedures, then there is really nothing to fear. Why not support the call for a formal inquiry instead to explain what happened and why it is it happened the way it did?

It may also be pertinent to point out that it is for the Attorney-General, and not Khalid as IGP, to decide whether or not a formal inquiry should be held under the Criminal Procedure Code. So Khalid cannot say he doesn't care. He must care. And he and his men must be prepared to respond to queries if indeed a formal inquiry is called into the matter in time to come.

Gobind Singh Deo MP for Puchong

Monday, August 19, 2013

Peguam telah diarahkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Utusan Malaysia

Saya telah mengarahkan peguam saya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Utusan Malaysia kerana menerbitkan semula pembohongan yang terkandung dalam risalah “The Equity Report (CEC Election Fraud)” yang ditulis oleh penulis rekaan “Father Augustus Chen”.
Dalam sebuah kenyataan yang dikeluarkan pada 5 Ogos 2013, saya menyebut:
  • “Father Augustus Chen” yang dikatakan menulis sebuah risalah yang menjelaskan tentang percanggahan dalam pemilihan parti DAP tahun lepas adalah semata-mata imaginasi “war room” Umno/BN dalam kempen menentang DAP sebelum dan selepas Pilihanraya Umum ke-13.
  • Tuduhan tentang percanggahan dalam pemilihan DAP oleh “Father Augustus Chen” ini tidak lain adalah salah satu serpihan daripada sekian banyak pembohongan dan tuduhan tidak berasas yang telah diterbitkan menerusi sekitar 400 laporan dan tulisan tentang DAP dalam media di bawah kawalan Umno/BN sejak Januari, khususnya dalam Utusan Malaysia dan New Straits Times.
  • Kemunculan risalah pembohongan yang dikarang oleh watak rekaan “Father Augustus Chen” pada bulan lepas ialah untuk memberi semacam justifikasi kepada tindakan Umno/BN dan RoS ke atas DAP.
Dalam kenyataan media dua hari selepas itu saya telah menyifatkan “Father Augustus Chen” sebagai “evil genius” kerana berjaya menyumbat sehingga sekitar 100 pembohongan dan kepalsuan dalam risalah setebal 12 halaman, dan saya telah memberikannya masa tujuh hari untuk menampilkan diri dan membuktikan bahawa dia benar-benar wujud.

Tempoh tujuh hari itu telah lama berlalu dan tiada orang bernama “Father Augustus Chen” tampil ke depan.

Tiada siapa menjangkakan “Father Augustus Chen” akan muncul kerana jika dia berani tampil ke depan untuk mengaku sebagai penulis risalah “The Equity Report”, dia pasti perlu sanggup untuk berdepan dengan sejumlah saman fitnah dan juga perbicaraan jenayah berikutan sekian banyak pembohongan dan fitnah yang telah diterbitkan dalam risalah tersebut.

Walaupun DAP telah berulang-kali menafikan segala dakwaan dalam risalah oleh “Father Augustus Chen” itu, Mingguan Malaysia kelmarin menerbitkan laporan oleh pemberitanya, Kasthuri Jeevendran, yang mengitar semula pembohongan dan kepalsuan yang ditulis oleh “Father Augutus Chen”.

Antara pembohongan yang dibuat oleh “Father Augutus Chen” dan menjadi alasan untuk menghalalkan tindakan RoS dan kerajaan Umno/BN terhadap DAP ialah bahawa “753 perwakilan tidak hadir (kebanyakannya berketurunan India)” kerana tidak diberikan notis untuk hadir dan mengundi di Kongres DAP di Pulau Pinang Disember lalu dan “547 perwakilan hantu (kebanyakan dari Pulau Pinang)” telah mengundi dalam kongres tersebut, selain beberapa tuduhan berkenaan pemimpin-pemimpin DAP.

Tiada kebenaran walau sebesar zarah sekalipun dalam semua tuduhan yang ditujukan terhadap DAP dan para pemimpinnya itu.

Saya dengan itu telah meminta para peguam saya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Utusan Malaysia kerana menerbitkan semula pembohongan yang terkandung dalam risalah “The Equity Report (CEC Election Fraud)” yang ditulis oleh penulis rekaan “Father Augustus Chen”.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Gelang Patah
 

Saturday, August 17, 2013

Najib sanggup menipu untuk memfitnah dan memusnahkan DAP

Kenyataan Perdana Menteri dan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak semalam berhubung dengan isu pemilihan semula CEC DAP mengesahkan terdapat usaha di peringkat tertinggi untuk melakukan satu komplot politik untuk memusnah dan melenyapkan DAP dari arena politik Malaysia. Najib sendiri telah “menghalalkan” penipuan yang telah disebar dan diulangi ratusan kali oleh agen-agen propaganda UMNO selama beberapa bulan ini dengan kenyataan beliau seperti berikut:

“Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, DAP adalah parti yang tiada kredibiliti kerana kononnya mengamalkan prinsip demokrasi namun pemimpin mereka tidak berani mengamalkan prinsip tersebut di dalam parti sendiri.

Perdana Menteri berkata, ini kerana seramai 753 perwakilan DAP yang berhak hadir pada pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) tidak dimaklumkan untuk hadir dan jumlah itu bukan suatu jumlah yang kecil.” (Utusan Malaysia 16 Ogos 2013)

Ini merupakan satu dakwaan yang tidak berasas sama sekali dan tidak pernah dibuktikan oleh ROS kerana ROS tidak pernah memberikan sebarang alasan dalam tindakan mereka mengarahkan pemilihan semula CEC DAP. Faktanya, mereka tidak dapat membuktikan bahawa 753 perwakilan yang tidak hadir di Kongres DAP pada 15 Disember 2012 tidak dimaklumkan oleh Parti kerana dakwaan tersebut merupakan satu penipuan yang direka untuk menyabitkan “kesalahan” yang tidak pernah wujud ke atas DAP.

Kalau isu 753 perwakilan yang berhak hadir tidak dimaklumkan merupakan “kesalahan” yang telah dilakukan oleh DAP sehingga kita patut dihukum dengan pemilihan semula, mengapakah ROS tidak dapat memberikan sebab tersebut dalam surat arahan mereka?

Bukti penghantaran notis melalui pos kepada semua perwakilan yang layak hadir telah pun diberikan kepada ROS namun ia langsung tidak diendahkan oleh ROS dalam pertimbangan mereka. Oleh kerana Najib sendiri yang mengulangi penipuan ini semalam, maka saya terpanggil untuk menunjukkan bukti-bukti tersebut secara terbuka supaya rakyat Malaysia boleh menjadi “hakim” dalam “mahkamah pendapat umum” (court of public opinion) untuk menentukan sama ada DAP yang bersalah ataupun Najib yang menipu!

Semua wakil media dijemput hadir ke sidang media saya pada hari Isnin, 19 Ogos 2013 jam 11 pagi di Ibupejabat Kebangsaan DAP, Kuala Lumpur.

Loke Siew Fook Ketua Whip DAP & Ahli Parlimen Seremban
 

Thursday, August 15, 2013

Jenayah musuh negara dan harus diperangi

Saya sempat merenung beberapa rencana dan kenyataan media yang ditulis saya ketika saya mula menceburi bidang politik pada tahun 2005. Terkejut saya apabila saya mendapat tulisan-tulisan saya pada masa itu masih lagi relevan pada masa sekarang.

Maksudnya ialah selepas lebih kurang lapan tahun, dua Perdana Menteri dan barangkali dua hingga tiga Pilihanraya Umum (PRU), keadaan pada tahun 2005 tidak banyak bertambah baik pada masa sekarang.

Malahan sekiranya pemimpin-pemimpin politik dan media ingin menulis atau membuat liputan terhadap masalah jenayah di Malaysia, tiada banyak poin baru yang boleh dibangkitkan.

Cuma satu fenomena baru yang agak menarik ialah masalah jenayah semakin mendapat perhatian daripada segenap lapisan masyarakat Malaysia. Saya masih ingat pada tahun 2005, masalah ini lebih diberi perhatian oleh media Bahasa Cina dan kaum Cina dan ianya lebih relevan untuk penduduk-penduduk di bandar-bandar besar Lembah Klang dan Johor Bahru.

Kini, masyarakat India dan Melayu juga sangat prihatin terhadap masalah jenayah dan saya kira ini ialah perkembangan yang baik. Perkara ini tidak mungkin berlaku jikalau beberapa kes jenayah berprofil tinggi tidak berlaku. Antaranya ialah pembunuhan pengasas Arab Malaysian Bank (AmBank), Hussain Ahmad Najadi pada 29 Julai 2013 yang ditembak mati di Lorong Ceylon, Kuala Lumpur.

Sebelum itu, rumah Menteri Belia & Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar di Jalan Setiabistari, Bukit Damansara dipecah masuk tiga pencuri pada 29 Jun 2013. Malahan sebelum ini, pernah juga dilaporkan tentang banyak kes pecah rumah yang berlaku di rumah-rumah Menteri, pemimpin-pemimpin dan saudara-masa pemimpin UMNO sebelum ini.

Kes terbaru yang mengejutkan kita ialah pistol seorang anggota polis dirompak di Shah Alam beberapa hari yang lalu. keyakinan orang ramai terhadap keupayaan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk menjada keselamatan orang ramai semakin terhakis dengan laporan-laporan negatif seperti ini. Betul kata Khairy Jamaluddin, masalah jenayah di Malaysia bukan semata-mata persepsi, tetapi satu isu yang sebenar.

Ramai penduduk di Malaysia telah mula mendirikan komuniti berpagar dan berpengawal (Gated and Guarded Community) di tempat mereka. Tren ini bermula di Lembah Klang pada pertengahan tahun 2000-an dan kemudiannya bertumbuh bagai cendawan selepas hujan di seluruh negara. Adakah cara ini berkesan mengurangkan kadar jenayah? Pada pendapat saya, ianya tidak berkesan.

Terdapat dua sebab mengapa saya berpendapat sedemikian. Sebab pertama ialah walaupun komuniti berpagar dan berpengawal mampu mengurangkan kes pecah masuk dan rompak di sesebuah komuniti, ianya tidak membantu mengurangkan kadar jenayah keseluruhannya. Contohnya, anda barangkali berasa selamat di rumah anda yang terletak di dalam komuniti berpagar dan berpengawal, tetapi apabila anda melangkah keluar dari rumah anda untuk membeli-belah di kedai, pasar atau menjamu selera di restoran yang berdekatan, anda terdedah kepada risiko jenayah yang lebih tinggi.

Komuniti berpagar dan berpengawal dalam situasi ini hanya “menghalau” penjenayah keluar daripada kawasan yang telah dipagarkan tetapi ianya tidak menghapuskan kegiatan jenayah sama sekali.

Kedua, skim ini memerlukan kerjasama daripada penduduk-penduduk. Dalam keadaan di mana kes jenayah dan pecah rumah masih boleh berlaku di dalam sesebuah komuniti berpagar dan berpengawal, ianya mampu mengikis keyakinan dan keberkesanan penduduk terhadap skim ini dan seterusnya menjejaskan penyertaan penduduk.

Ketiga, cara merompak penjenayah semakin ganas. Kalau pada masa dahulu mereka menggunakan senjata ringan seperti pisau. Kini mereka menggunakan parang, kapak malahan pistol untuk merompak. Kalau pada masa dahulu mereka datang bermotosikal, kini mereka datang bergeng-geng dalam kereta. Pengawal-pengawal keselamatan biasa memang tidak dapat menangkis mereka. Pernah berlaku dalam kawasan saya di mana pengawal-pengawal keselamatan terpaksa melarikan diri apabila dikasari oleh perompak-perompak ini.

Jadi, bagaimana kita hendak menyelesaikan masalah ini? Jawapannya masih berada di tangan PDRM. Kita telah membongkarkan kepincangan dalam pengurusan sumber manusia pasukan PDRM tidak lama yang lalu.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng telah mengatakan bahawa daripada 112,583 anggota polis hanya 10,150 anggota sahaja yang memerangi jenayah iaitu hanya sembilan peratus. Di beberapa bandar di Lembah Klang, nisbah anggota polis kepada penduduk mencecah 1:500, jauh lebih tinggi daripada piawai antarabangsa iaitu 1:250.

Dua cadangan utama untuk menyelesaikan masalah ini ialah dengan menubuhkan pasukan polis bantuan dan menghantar lebih ramai anggota polis, seperti Pasukan Gerak Am (PGA), Cawangan Khas dan sebagainya untuk memerangi jenayah.

Respons Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar tentang kedua-dua cadangan ini agak menghampakan. Beliau hanya membenarkan penubuhan pasukan polis di Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk menjaga premis MBPJ sahaja. Ini menyimpang jauh daripada tujuan asal menubuhkan pasukan polis bantuan MBPJ yang asal, iaitu untuk membantu meronda kawasan-kawasan jenayah.

Dalam isu kekurangan anggota PDRM, Ketua Polis Negara dan Menteri Dalam Negeri bersikap lebih defensif, di mana mereka menyalahkan pemansuhan Emergency Ordinance di mana penjenayah-penjenayah dibebaskan dan menyebabkan kes pembunuhan meningkat.

Sindrom penafian (Denial Syndrome) ini telah menyebabkan masalah kekurangan anggota polis untuk menangani kes-kes jenayah terus tidak diendah. Saya kira masanya sudah sampai agar kerajaan persekutuan dan PDRM untuk bersikap think outside the box dan kreatif untuk memerangi jenayah.
Ya, ini ialah satu peperangan menentang jenayah dan segala tindakan yang harus dan boleh dilakukan untuk mengurangkan jenayah harus dilaksanakan segera. Janganlah ianya digagalkan oleh birokrasi-birokrasi remeh ciptaan manusia sendiri.

Lau Weng San
Setiausaha Organisasi Negeri DAP Selangor & ADUN Kampung Tunku

Wednesday, August 7, 2013

Biro Undang-undang DAP perlu meneliti lebih 200 laporan Utusan yang menyerang DAP

Biro Undang-undang DAP yang diketuai oleh Ahli Parlimen DAP untuk Puchong Gobind Singh Deo perlu meneliti lebih 200 laporan dan rencana dalam Utusan Malaysia yang menyerang DAP sejak Januari lalu untuk mengemukakan beberapa saman terhadap akhbar Umno itu.

Dalam laporan dan rencana yang diterbitkannya, Utusan Malaysia telah berulang-kali menyebarkan pembohongan dan kepalsuan tentang DAP dan pimpinan DAP, terutamanya berkenaan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP semasa Kongres Kebangsaan DAP bulan Disember lalu, tanpa mempedulikan prinsip-prinsip asas kewartawanan yang berkaitan dengan etika, kejujuran dan kebenaran.

Serangan yang diarahkan oleh “war room” Umno/BN dengan tujuan memburuk-burukkan dan memusnahkan DAP ini mencapai kemuncaknya pada bulan April, sejurus sebelum Pilihanraya Umum ke-13, dan walaupun rentaknya menjadi perlahan selepas pilihanraya umum Mei lalu, momentumnya meningkat kembali pada bulan Jun dan Julai, sehinggalah Pendaftar Pertubuhan mengeluarkan arahan agar DAP mengadakan pemilihan semula CEC.

Walaupun Pendaftar Pertubuhan tidak mengemukakan sebarang alasan kepada DAP mengapa ia mahu pemilihan semula CEC diadakan, dua tuduhan palsu telah ditonjolkan dalam Utusan sejak enam bulan lalu untuk menghalalkan tindakan RoS:
  1. Bahawa 753 perwakilan DAP tidak diberikan notis tentang Kongres DAP dan dinafikan hak untuk memilih CEC baru.
  2. Bahawa Kongres DAP Disember lalu telah disertai oleh 547 perwakilan hantu yang sebahagian besarnya dari Pulau Pinang dan mengundi dalam kongres berkenaan
Arahan RoS untuk mengadakan pemilihan semula CEC itu boleh difahami jika salah satu dari dua dakwaan itu adalah benar. Tetapi kedua-duanya adalah pembohongan yang nyata.

Ketua Pengarah RoS Datuk Abdul Rahman Othman secara terbuka telah menyebut pada awal tahun ini bahawa beliau hanya boleh mengarahkan supaya pemilihan semula CEC diadakan jika ada “bukti kukuh” tentang percanggahan dalam proses pemilihan.

Tuduhan liar “753” dan “547” itu terbukti sebagai pembohongan, maka apa “bukti kukuh” yang Pendaftar Pertubuhan miliki untuk menghalalkan arahannya supaya DAP mengadakan pemilihan semula CEC?

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Gelang Patah

Tuesday, August 6, 2013

Sistem PBS membebankan guru-guru

Kementerian Pendidikan Malaysia harus membuat kajian semula mengenai Sistem Pentaksiran Sekolah (PBS) yang sebenarnya tidak praktikal dan amat membebankan guru-guru. Kementerian Pendidikan harus mengakui kelemahan sistem PBS ini dan mengambil langkah-langkah postif untuk mengubahnya.

Daripada jawapan yang diberikan di Dewan Rakyat didapati kerajaan tidak mempunyai hasrat untuk menyemak semula sistem ini. Pendekatan kerajaan yang defensif ini akan merugikan negara jika tidak ditangani dengan betul. Kerajaan harus menjalankan kaji selidik atau survey dengan semua guru-guru yang terlibat dan mengetahui keberkesanan kaedah pengajaran dan pembelajaran sistem PBS ini. Walau bagaimanapun, kerajaan telah gagal untuk menjalankan kaji seledik ini.

Kerajaan tidak sepatutnya memperkenalkan satu sistem yang tidak disukai oleh majoriti pelaksana dasar iaitu guru-guru itu sendiri. Hampir semua guru merungut bahawa sistem PBS ini amat membebankan kerja harian mereka. Sistem PBS ini nyata sekala tidak disukai oleh guru-guru yang terlibat secara langsung dalam melaksanakanya. Ini akan menurunkan moral dan motivasi guru-guru dalam tempoh jangka panjang. Justeru, kualiti pendidikan negara akan turut terjejas jika guru-guru tidak berpuas hati dengan sistem yang rumit dan amat menyusahkan ini.

Menteri Pendidikan berpendapat sistem PBS tidak membebankan guru-guru jika mereka memahami konsep PBS dengan betul. Dikatakan bahawa guru-guru kurang memahami tentang cara untuk melaksanakan pentaksiran seiring dengan proses pengajaran dan pembelajaran. Menteri Pendidikan juga menuduh bahawa guru-guru menghadapi kesukaran membina instrumen pentaksiran yang pelbagai bentuk kerana masih terikat dengan fahaman dan kebiasaan untuk menilai pencapaian murid menggunakan ujian berbentuk kertas dan pensel.

Ini adalah tidak benar kerana masalah ini bukan dihadapi oleh segelintir guru-guru sahaja. Kalau kaji selidik dibuat dengan telus, saya pasti sebahagian besar daripada guru-guru yang berpengalaman juga tidak akan bersetuju dengan sistem PBS ini.

Guru-guru mengadu bahawa Sistem Pengurusan PBS (SPPBS) adalah amat sukar untuk diakses. Ini merupakan salah satu masalah yang amat membebankan guru-guru. Sering kali mereka terpaksa mengakses SPPBS pada larut malam atau awal pagi , sebagai contoh 3.00am atau 4.00am untuk membuat kerja-kerja mengemaskini data. Ini menjadi satu tekanan dan seterusnya boleh menjejaskan kesihatan mereka. Tambahan pula, mereka terpaksa mengajar di sekolah pada keesokan hari. Sudah pasti ini akan meruntuhkan kualiti pengajaran dan pembelajaran.

Kementerian Pendidikan telah cuba mengatasi masalah ini dengan menyediakan hosting khas yang berasingan bagi SPPBS serata menambahkan 20 buah server untuk mengurangkan kekesakan pengguna yang ramai. Tetapi adakah ini telah mengurangkan kesulitan guru-guru ini? Sehingga hari ini guru-guru masih mengadu bahawa SPPBS ini merupakan satu beban kepada mereka. Oleh yang demikian, kerajaan harus mengambil langkah yang prihatin terhadap guru-guru yang merupakan anggota perkhidmatan awam yang paling ramai di Malaysia.

V. Sivakumar Timbalan Pengerusi DAP Negeri Perak & Ahli Parlimen Kawasan Batu Gajah

Sunday, August 4, 2013

Apabila pembohongan menjadi kebenaran........

Kewartawanan Malaysia dalam negara Umno/BN mencapai “kemuncak” baru di peringkat antarabangsa apabila pembohongan menjadi kebenaran dan khayalan menjadi dikemukakan sebagai kenyataan.

Akhbar Harian milik Umno, Utusan Malaysia, menjadi contoh bagi “transformasi” kewartawanan Malaysia kelmarin apabila ruangan komentar rasminya, “Bisik-Bisik”, yang ditulis oleh Awang Selamat, iaitu nama samaran bagi pusat perang saraf Umno-Utusan, telah melancarkan satu lagi serangan terhadap DAP yang telah meminta Pendaftar Pertubuhan menyatakan sebab mengapa ia memutuskan untuk mengarahkan DAP mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti.

Kata Awang Selamat: "Awang teringat desakan orang politik termasuk bekas orang DAP sendiri yang mahukan DAP mengadakan semula pemilihan CEC ekoran dakwaam berlaku penyelewengan dan manipulasi undi membabitkan 547 perwakilan."

Pembohongan tentang 547 perwakilan hantu di Kongres DAP di Pulau Pinang Disember lalu, dengan dakwaan lebih mengarut bahawa semua 547 perwakilan hantu itu datang dari Pulau Pinang, adalah salah satu kepalsuan paling jelek pernah direka oleh wartawan-wartawan yang menjadi soldadu perang saraf Umno/BN. Mereka tidak memerlukan walau pun secebis bukti. Para propagandis Umno/BN ini berharap kepalsuan itu boleh diterima oleh rakyat Malaysia dengan cara menerapkan doktrin Goebble, menteri propaganda Nazi, yang menyatakan bahawa jika pembohongan diulang seribu kali, ia akan menjadi satu fakta.

DAP dan rakyat Malaysia berhak untuk tahu sama ada pembohongan tentang “547 perwakilan hantu DAP” di Kongres DAP di Pulau Pinang Disember lalu adalah salah satu sebab mengapa Ketua Pengarah Pendaftar Pertubuhan mengeluarkan arahan kepada DAP untuk mengadakan pemilihan semula CEC dan, jika bukan, apakah sebab RoS mengeluarkan arahan sedemikian.

DAP bersedia mengadakan semula pemilihan CEC jika Ketua Pengarah RoS boleh memberikan sebab yang munasabah dan bukannya berasaskan pembohongan dan kepalsuan yang direka oleh Skuad Perang Saraf Goebbel Umno/BN, terutama oleh cawangannya di Utusan Malaysia.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Gelang Patah